Kisah Bai Guang dan lelaki ini menggamit nostalgia zaman kecil didukung ibu. Indahnya waktu dulu.

0
86

Irama dan lagu, apa sahaja alunan muzik yang menjadi santapan halwa telinga, pasti akan menggamit setiap inci peristiwa yang berlaku ketika itu.

Andai dibesarkan dengan lagu allahyarham Tan Sri P.Ramlee, setiap kali berkumandangan lagunya, sepintas lalu terkenang kembali nostalgia bersama ibu bapa ketika kecil, bagaimana suasana sekitar waktu itu, malah mungkin terhidu kembali aromanya. Indahnya, andai dapat diulang kembali detik-detik manis bersama.

Perkongsian Kenny Kok di laman sosial miliknya cukup menyentuh hati. Jelasnya lagu-lagu seorang penyanyi wanita berbahasa Mandarin yang sering kedengaran di corong radio ketika era 60-an menggamit memori.

Walau tidak memahami bait-bait lirik, namun itulah lagu yang menjadi latar hidupnya bersama ibu tercinta. Sehinggalah pada 2018, pencariannya bertemu titik penamat. Penyanyi yang dimaksudkan merupakan Bai Guang dari Peking, dan penyanyi lagenda ini telah memilih Malaysia untuk menjadi destinasi terakhir sebelum meninggal dunia.

“Tajuk : Penyanyi Terkenal Yang Berasal dari Negara China Memilih Malaysia Sebagai Tempat Rehat Ia Yang Terakhir Yang Penuh Nostalgia untuk Saya Mengingati Emak Saya Yang Tersayang.

“Tahun 60-an saya kerap mengikuti emak saya yang tersayang ke kopitiam dan kedai-kedai runcit untuk membeli barang-barang dapur. Sering saya dengar lagu-lagu Mandarin yang di nyanyikan oleh seorang penyanyi perempuan dari radio yang di pasang oleh tauke kopitiam dan kedai-kedai runcit. Namun, latar belakang penyanyi jauh sekali saya kenal.

“Di sebabkan saya dari aliran sekolah Inggeris maka ia tidak membantu sama sekali dari segi perfahaman lagu-lagu Mandarin. Di sebabkan saya sering dengar lagu-lagu yang sama pada tahun 60-an, 70-an sehingga 80-an, maka penyanyi ini mestilah terkenal, namun saya masih tak kenal siapa dia ataupun nama penyanyi ini, tapi saya masih ingin tahu.

“Imbas kembali, lagu-lagu Melayu pada zaman yang sama, bunyi dan rentak ia agak sama. Suatu hari, tahun 2018 saya berada di satu shopping kompleks di ibukota window shopping, saya terdengar lagu yang sama dari kedai yang jual rekod-rekod lama.

“Maka saya pun berhenti sekejap dan bertanya kepada tauke kedai … “Bos bolih tolong beritau siapa ka penyanyi lagu ini?”., bos tu menjawab … “aiya nama ia BAI GUANG la, awak tak tau ka?”

“Alamak, mana aku tahu, baru aku tahu. Takpa, saya tanya Uncle Google dan latar belakang Bai Guang di ringkaskan seperti berikut :

Nama Pentas : Bai Guang (White Light)

Nama Asal : Shi Yong Fen

Tahun Lahir : 1921 (Peking)

Tahun Meninggal Dunia : 1999 (Umur 78 tahun)

Tempat Rehat Terakhir : Nirwana Memorial Park (Semenyih, Selangor)

Zaman Kegemilangan : 1943 – 1959

“Ia di kenali sebagai “Queen of the Low Voice” dan di samakan dgn Marlene Dietrich benua Timur. Suami terakhir Bai Guang adalah seorang rakyat Malaysia dan Bai Guang menetap di Malaysia sejak 1969 sehingga ia meninggal dunia di Kuala Lumpur pada tahun 1999. Keinginan terakhir nya adalah di kebumikan di Malaysia. Tempat perkuburan Bai Guang yang di bina oleh suaminya di Semenyih (Selangor) terdapat satu piano batu dan console muzik dan kerusi-kerusi batu untuk duduk.

“Sesiapa yang mengunjungi tempat tersebut boleh la duduk sekejap, tekan butang pada muzik console dan mendengar lagu-lagu Bai Guang yang silam yang terkenal dan penuh nostalgia. Masa saya di sana, ternampak ramai rakyat Malaysia berbilang kaum dan juga warga asing menghormati Bai Guang, Bangga la dapat seorang penyanyi yang terkenal warga asing ingin di kebumikan di Malaysia.

“Yang paling nostalgia adalah bila saya mendengar lagu-lagu Bai Guang imbas kembali EMAK saya yang tersayang masa ia mendukung saya ke kedai-kedai runcit dan kopitiam-kopitiam. Bolih la tuan-tuan dan puan puan dengar lagu lagu Bai Guang di Youtube. Sekian.”

Sumber : Facebook Kenny Kok