PUTRAJAYA – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menjalani kuarantin kendiri di rumah sehingga Ahad ini selepas menjadi kontak rapat individu yang disahkan positif COVID-19 pada 22 Januari lalu.
Mohd Zuki yang mengesahkan perkara itu dalam laman sosial Facebook hari ini, memaklumkan kuarantin kendiri itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Walau bagaimanapun, situasi ini tidak akan mengganggu urusan pentadbiran perkhidmatan awam kerana saya akan terus melaksanakan amanah ini dengan bekerja dari rumah bagi mesyuarat-mesyuarat yang dipengerusikan atau dihadiri oleh saya.
“Sidang media Pengurusan Darurat yang sepatutnya diadakan pada petang ini terpaksa dibatalkan dan saya akan mengeluarkan kenyataan media berkenaan mekanisme pentadbiran Pengurusan Darurat,” katanya melalui hantaran itu.
Sebelum ini, Mohd Zuki dijadualkan mengadakan sidang media yang disiarkan secara langsung melalui stesen televisyen RTM dan BERNAMA TV, pada jam 2.30 petang ini.