KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,680 kes baharu COVID-19 dilaporkan di seluruh negara hari ini.
Hari ini juga menyaksikan Johor mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 1,069 penularan mengatasi Selangor yang merekodkan 822 kes baru.
Selain itu, Kuala Lumpur seperti mana Johor dan Selangor yang diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 15 hari lalu merekodkan penularan ketiga tertinggi dengan 698 kes diikuti Sabah, 295 kes.
Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, sebanyak tujuh lagi kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes positif COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini berjumlah 314 kes dengan 122 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, sejumlah 1,858 kes sembuh oula dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh daripada COVID-19 sebanyak 151,018 kes.
Katanya, tujuh lagi kematian direkodkan hari ini yang kesemuanya melibatkan warganegara.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia akibat pandemik itu setakat ini sebanyak 707, katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, penularan COVID-19 di tempat kerja menjadi penyumbang tertinggi kluster baharu hari ini, yang merekodkan 15 daripada 17 kluster.
Dr Noor Hisham berkata, negeri yang mencatatkan kluster berkaitan tempat kerja paling banyak adalah Johor iaitu enam kluster, diikuti Kuala Lumpur, empat dan Selangor, tiga.
“Satu kluster berkaitan tempat kerja masing-masing iaitu Kluster Jalan Sulaman di Sabah dan Kluster Jalan Seri di Perak.
“Baki dua kluster baharu adalah kluster komuniti iaitu Kluster Bendayan di Sarawak dan Kluster Jalan Pengkalan di Perak,” katanya