SHAH ALAM – Kes rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam kebelakangan ini memang mencetuskan kebimbangan pelbagai pihak.

Walaupun hanya minoriti kecil, namun peningkatan jumlah yang disiasat dan didakwa tidak harus diambil mudah sama ada mereka jerung mahu pun bilis.

Dan hari ini, seorang pengarah jabatan di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berpangkat Datuk berdepan pendakwaan salah guna kuasa yang dilakukannya pada 2016.

Memetik laporan Bernama.com, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik perempuannya, lima tahun lepas.

Datuk Nizam Sahari, 54, sebagai Ketua Jabatan Perancangan Pembangunan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Mengikut pertuduhan, Nizam menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan untuk adiknya Zaiton Sahari, 50, iaitu kelulusan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan pembinaan satu blok bangunan perniagaan dua hingga tiga tingkat, mengandungi empat unit kedai pejabat di Kajang atas nama syarikat Tetuan Permata Cerah Sdn Bhd, yang dimiliki wanita berkenaan.

Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam bukan lagi isu terpencil – KP JPA

Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM

Nizam didakwa telah menggunakan jawatan sebagai pegawai badan awam iaitu Pengarah Jabatan Perancangan Pembangunan Gred J52 MPKj untuk mendapatkan kelulusan permohonan kebenaran merancang bagi cadangan satu blok bangunan perniagaan yang mengandungi empat unit kedai pejabat di Lot 7330, Mukim Kajang, Hulu Langat atas nama Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd. milik adik perempuannya berusia 50 tahun.

Kesalahan tersebut di lakukan di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih, MPKj pada 14 Mac 2016.

Tertuduh pada kejadian didakwa membentangkan permohonan kebenaran merancang tersebut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat MPKj Bil. 5/2016 dan mengeluarkan Borang C (1) iaitu kebenaran merancang kepada Tetuan Permata Cerah Sdn. Bhd.

Bagi pertuduhan itu, Nizam didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Berdasar laporan media, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fadhli Ab. Wahab menawarkan jaminan RM20,000 bersama seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat.

Peguam bela Wan Muhd. Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili tertuduh tidak membantah perkara itu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan 25 Februari depan.