SINGAPURA – Seorang remaja Singapura berusia 16 tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bulan lalu kerana didapati membuat persiapan rapi untuk melancarkan serangan pengganas menggunakan sejenis parang di dua buah masjid di Singapura.
Memetik laporan Berita Harian Singapura, remaja berkenaan membuat perancangan rapi untuk menyerang umat Islam di Masjid Assyafaah dan Masjid Yusof Ishak.

Serangan tersebut dilaporkan dipengaruhi serangan pengganas terhadap dua masjid di Christchurch, New Zealand, pada 15 Mac 2019.
Berdasar laporan tersebut, remaja berkenaan merancang melancarkan serangan itu pada ulang tahun kedua serangan tersebut, iaitu pada 15 Mac ini.

Remaja 16 tahun berkenaan merupakan seorang pelajar ketika itu dan menjadi individu pertama yang ditahan di sini setelah terpengaruh dan didorong ideologi pelampau sayap kanan.
Dia juga individu termuda yang ditahan di bawah ISA sejauh ini bagi kegiatan berkaitan pengganasan.
Berita Harian Singapura juga melaporkan yang dia menjadi radikal secara sendiri.