KUALA LUMPUR – Stesen televisyen satelit berbayar, Sirius TV menawarkan dua saluran percuma kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dijadikan saluran TV Pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMART Digital International Sdn Bhd. (SMART), Khairuddin Abdul Rahman berkata, tawaran melalui Stesen TV Sirius iaitu stesen berlesen yang memberi perkhidmatan televisyen satelit berbayar itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai pengendali stesen berkenaan kepada masyarakat.
Menurut beliau, penggunaan kedua-dua saluran tersebut akan membantu KPM menyiarkan kandungan pendidikan bagi sekolah rendah dan menengah dengan lebih meluas memandangkan Satelit SES–12 yang digunakan oleh Sirius TV mempunyai capaian yang amat baik di seluruh negara termasuklah di pedalaman.
Katanya, ini sekaligus membolehkan KPM menyediakan medium untuk para pelajar mengakses kandungan pendidikan dalam bentuk rakaman mahupun siaran langsung tanpa terlalu bergantung kepada capaian internet.
“Penangguhan sesi persekolahan disebabkan peningkatan mendadak kes COVID-19 telah memaksa pihak KPM melaksanakan program Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang banyak bergantung kepada akses internet dan peranti.
“Melalui penggunaan kedua-dua saluran percuma yang kami tawarkan ini, perlaksanaan program PdPR akan dapat dipertingkatkan lagi keberkesanannya terutamanya di kawasan di mana capaian internet tidak memuaskan,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, penggunaan kedua-dua saluran itu juga dapat meringankan beban kekurangan peranti seperti telefon pintar dan tablet untuk kegunaan PdPR yang dihadapi oleh keluarga berpendapatan rendah ketika ini.
Khairuddin juga menyatakan, tawaran yang diberikan pihaknya selari dengan sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Malaysia (NUTP) terhadap cadangan pengwujudan saluran televisyen pendidikan yang boleh diakses oleh pelajar dari semua peringkat pendapatan dan di kawasan luar bandar.
“Langkah ini juga diyakini dapat mengatasi permasalahan-permasalahan yang dihadapi oleh pihak sekolah dan ibu bapa dalam perlaksanaan PdPR ketika ini,” katanya.
Khairuddin juga memaklumkan, sehingga kini pihak KPM masih belum memberi maklum balas kepada tawaran yang diberikan.
Stesen Satelit Sirius TV akan dilancarkan secara rasmi pada suku pertama tahun ini dengan mempunyai sehingga 30 saluran yang menawarkan pakej tanpa kontrak dan dengan langganan percuma selama 12 bulan kepada pengguna.