Pernah dengar tentang orang kenit? Anda percaya makhluk itu wujud?

Jawapan untuk teka-teki kewujudan orang kenit masih menjadi misteri dan belum dapat dipastikan kesahihannya. Hanya mitos yang menceritakan orang kenit sebenarnya wujud, tetapi sains masih belum memperakuinya secara sah disebabkan tiada bukti yang kukuh.

Orang kenit digambarkan mempunyai bentuk fizikal yang sama seperti manusia tetapi bersaiz kecil. Ketinggiannya dianggarkan antara dua hingga tiga inci sahaja. Mungkin saiznya lebih kurang sebesar tikus.

Gambar Hiasan.

Mengikut kisah yang diceritakan turun temurun, orang kenit menyembunyikan diri daripada manusia kerana bimbang dicederakan. Komuniti kenit ini hidup di dalam hutan, dan ekosistem kehidupan mereka hanya berkisar di hutan semata-mata.

Tidak kurang juga ada yang mengatakan orang kenit adalah spesies makhluk halus seperti jin atau bunian. Kehidupannya dikatakan mirip manusia normal tetapi ia lebih selesa hidup di dalam komunitinya sendiri tanpa dilihat oleh manusia. Disebabkan itu, ia sangat sukar ditemui.

Setakat ini, kebanyakan laporan penemuan orang kenit ialah di sekitar Nusantara iaitu beberapa daerah di Indonesia seperti Sumatera dan Jawa, Borneo serta semenanjung Malaysia.

Perkara berkaitan orang kenit ini turut menarik minat pengkaji-pengkaji Barat. Kebanyakan para pengkaji ini datang sendiri ke lokasi yang dikatakan wujudnya makhluk ini.

Bermula pada tahun 1910, beberapa kajian tentang orang kenit telah dilakukan oleh pengkaji yang berasingan. Bagaimanapun, rumusan spesifik mengenai spesies ini masih tidak dapat diberikan secara terperinci. Setakat ini, makhluk tersebut dikatakan berbulu di keseluruhan badan dan menyerupai haiwan cryptid.

Cryptid, digambarkan sama seperti orang kenit.

Pada Oktober 2002, satu penemuan yang menggemparkan telah dilaporkan di Chile. Seorang kanak-kanak lelaki, Julio Carreno dikatakan telah menemui spesies makhluk kenit ketika bercuti bersama keluarganya di selatan negara itu.

Makhluk yang fizikalnya seakan manusia itu cuma sepanjang 7.2 sentimeter dan memiliki kepala besar, dua tangan serta dua kaki kecil. Ketika ditemui, makhluk tersebut dikatakan masih hidup namun tidak lama kemudian ia mati tanpa sebab musabab yang diketahui.

Pengkaji dari University of Chile menganggap makhluk itu mungkin fetus sejenis haiwan hidupan liar seperti kucing hutan. Manakala pengkaji dari University of Sonto Tomas beranggapan ia adalah hidupan seakan tupai iaitu ‘monito de monte’ yang berasal daripada spesies mamalia kecil yang suka menyembunyikan diri pada waktu siang.

Monite de monte.

Ada juga yang mengaitkan orang kenit dengan makhluk asing. Berkemungkinan saiz makhluk asing yang sangat kecil membuatkan mereka digelar orang kenit.

Di antara tahun 1950 hingga 1980, sebanyak 46 kes penemuan orang kenit dilaporkan di Malaysia. Daripada 46 kes, 32 insiden melibatkan kanak-kanak. Tahun 1970 mencatatkan penemuan paling tinggi iaitu sembilan kes.

Makhluk ini dikatakan kerap muncul pada jam sekitar 10.00 pagi, pada waktu malam dan subuh. Daripada semua kes yang dilaporkan itu, rata-rata mengatakan ketinggiannya hanya sekitar dua hingga empat inci. Beberapa gambaran menyebut makhluk tersebut menyerupai manusia, mempunyai bulu di seluruh tubuh, kelihatan seperti monyet dan berambut panjang seperti wanita.

Antara keratan akhbar yang memaparkan kisah penemuan orang kenit.

Salah satu kes yang mengejutkan ialah penemuan orang kenit di Bagan Jermal, Pulau Pinang. Seorang wanita bernama Latifah, dikatakan tanpa sengaja telah memijak makhluk itu sehingga mati. Namun, disebabkan ciri-cirinya seakan manusia, makhluk itu disemadikan dengan sempurna, sama seperti manusia. Tetapi kes tersebut berlaku sudah lama, iaitu pada tahun 1953.

Sementara itu di Kepulauan Flores, Indonesia, turut dipercayai wujudnya spesies ini. Makhluk aneh itu memiliki lengan yang lebih panjang, alis tebal, dahi jendul, mata yang bulat, tidak mempunyai dagu serta bergigi besar dan agak tumpul. Masyarakat setempat menggelarnya Ebu Gogo.

Gambaran Ebu Gogo, kepercayaan masyarakat Flores.

Selama beberapa lama ia kekal sebagai rahsia, akhirnya kewujudan manusia aneh itu terbongkar dengan penemuan sembilan rangka manusia kerdil itu di gua Liang Bua di Flores. Ia kemudian diberi nama saintifik ‘Homo Floresiensis’.

Banyak pihak yang menggelarnya sebagai Hobbit disebabkan fizikalnya yang kerdil. Ketinggian ‘Homo Floresiensis’ ini hanya sekitar setengah meter, dengan berat rata-rata 20 kilogram. Adakah ia orang kenit yang dimaksudkan selama ini?

Gua Liang Bua di Flores.