Pelbagai wajah ahli politik pada ‘musim’ Covid

Dari Penulis


ANALISIS

Setiap benda yang berlaku pasti ada hikmahnya. Begitulah juga bila negara ‘diserang’ pandemik Covid-19, kita akan lihat ‘betapa hebatnya’ ahli politik berhujah, memberi pandangan, kritikan dan melakukan ‘serangan’ ke atas kerajaan, seolah-olah apa sahaja kerajaan buat untuk menangani wabak tersebut semuanya salah.

Buatlah apa sahaja, pasti ada kritikan daripada kelompok itu termasuklah daripada pemimpin yang partinya turut berada dalam kerajaan. Sebenarnya tidak salah untuk memberi pandangan dan kritikan, tetapi kadang kala ia dilihat bermotif politik.

Secara tiba-tiba kita dapat lihat bagaimana ada ahli politik ini menjadi pakar ekonomi, ada yang muncul berhujah bagaikan pakar kesihatan dan ada pula yang cuba tonjolkan diri seolah-olah dia sahaja semasa berkuasa dahulu melaksanakan program yang memberi kesan kepada kebajikan rakyat. Dalam bahasa mudah, pelbagai watak dan wajah ahli politik kita pada ‘musim Covid’ ini.

Penulis tidak perlu menyatakan siapa mereka kerana kenyataan yang mereka buat berkaitan bagaimana kerajaan menangani Covid-19 sudah tersebar ‘seantero’ dunia.

Selain portal-portal berita, kenyataan itu juga disebarkan seluas-luasnya melalui media-media sosial sehingga ada ahli politik secara tiba-tiba mempunyai team media sendiri yang sejak beroperasi, majoritinya hanya mengkritik kerajaan walaupun pemimpin itu bersama kerajaan.

Kita akui memang ada sedikit sebanyak kelemahan yang ada di pihak kerajaan dalam menangani Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Contohnya, walaupun ini merupakan kali kedua tetapi masih ada kementerian yang masih kelam kabut, masih ada kementerian yang ‘lembab’ untuk bertindak dan masih ada kementerian yang seolah-olah tak tahu nak buat apa-apa.

Tetapi untuk merumuskan kerajaan gagal menangani pandemik Covid-19 dan tidak berusaha untuk meringankan beban rakyat, ia agak keterlaluan.

Demi untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan mempertahankan sektor ekonomi lah, PKP kali ini bukan total lockdown, sektor tersebut dibenarkan beroperasi, peniaga-peniaga kecil diizinkan berniaga demi memastikan punca rezeki mereka tidak terputus, tetapi itupun dikritik, ada ahli politik berhujah patutnya total lockdown untuk mengawal pandemik tersebut.

Ada yang berkata, kenapa nak tunggu 4 Februari baru nak putuskan buat total lockdown, kenapa tidak sekarang? Tetapi percaya atau tidak, kalau buat total lockdown rakyat menderita, puak-puak politik ini akan salahkan kerajaan juga.

Bila ekonomi jatuh, mereka berhujah tindakan kerajaan telah menyebabkan pelabur takut. Maknanya buatlah macam mana pun, puak-puak politik ini tetap akan cari celah mana boleh mereka politikkan.

Kita akui ada juga hujah atau kritikan mereka betul tetapi pada masa sama kerajaan juga tidak duduk diam. Pelbagai usaha dilakukan termasuk menyediakan pelbagai pakej untuk membantu rakyat, tetapi kalau banyak sangat pakej, mereka persoal pula, adakah kerajaan atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai keabsahan untuk membelanjakan wang negara.

Kadang kala kita berasa rimas melihat komen-komen mereka yang majoritinya lebih cenderung bermotif politik bukannya ikhlas sangat mahu bela rakyat. Mereka hanya mahu mewujudkan persepsi bahawa kerajaan gagal dalam hadapan pandemik Covid-19, sedangkan kalau mahu bercakap soal gagal, mereka juga ‘ada saham’ yang memungkinkan kegagalan itu berlaku.

Mereka persoalkan kenapa darurat diisytiharkan dan kenapa Parlimen digantung kerana hujah mereka negara lain tak buatpun seperti mana Malaysia. Soalnya adakah sikap ahli politik mereka sama dengan perangai ahli politik negara ini?

Ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19 mereka pastikan Parlimen akan menjadi platform untuk bersama kerajaan memerangi Covid-19 tetapi di negara kita, tidak ada jaminan kalau Dewan Rakyat dibenarkan bersidang, ia akan menjadi platform seumpama itu.

Justeru lebih baik, kerajaan mengambil sikap melakukan apa yang difikirkan betul untuk kebaikan rakyat dan negara tetapi pada masa menilai cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh ahli-ahli politik tersebut, yang mana betul ambillah, yang mana rasa ada berbaur politik, biarkan sahaja.

Perlu diingat perjalanan kita untuk menumpaskan pandemik Covid-19 masih jauh dan kita akhirnya terpaksa menerima ‘kehadiran’ wabak itu dalam kehidupan kita, apa yang penting ialah bagaimana kita hendak memastikan ‘musuh baru’ ini tidak terus mengancam kehidupan rakyat dan menjejaskan negara.

Lagipun yang dok bercakap banyak inipun tidaklah sehebat mana.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This