KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden akan tetap meneruskan polisi kuasa besar dunia itu yang dipengaruhi Zionis.
Katanya, apa yang berbeza ialah pendekatan diplomatik lembut supaya masuk ke dalam pengaruhnya dan dapat diletak serta diatur dalam percaturannya.
‘’Laksana angin bertiup sepoi bahasa yang mampu menjatuhkan kera yang berpaut pada dahan yang kukuh, setelah tidak mampu dijatuhkan oleh ribut taufan yang kuat dan ganas, maka dipilih pendekatan diplomatik yang lembut,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Hadi berkata, realiti politik di Amerika Syarikat laksana papan dan buah catur yang sama, hanya sekadar bertukar pemainnya sahaja.
‘’Semua negara sekadar mahu dijadikan buah catur mereka sahaja, mengikut kehendak pemain dan tidak mampu bergerak sendiri. Sekalipun buah catur itu raja, panglima dan hulubalang, namun pergerakannya mengikut siapa pemainnya,’’ katanya.
Beliau berkata, Biden adalah penyokong dasar terdahulu terhadap Israel dan campur tangan ke dalam urusan negara Islam, seperti menyerang Afghanistan, mengkhadamkan puak Kurdi di sempadan Turki, Syria, Iraq dan Iran.
Ia, kata Abdul Hadi, termasuklah penggerak perang proksi di Syria, Libya dan Yaman, memecah belahkan Iraq, serta mengepung Iran dan mengugut semua negara yang tidak mengikut kehendaknya.
‘’Perubahan jawatan Presiden Amerika Syarikat kepada Biden kerana pendekatan campur tangan dahulu telah gagal, tanpa dapat menguasai keadaan, maka perlu diubah tangan pemainnya.
‘’Biden tetap meneruskan polisi yang sama, dengan perubahan mengikut keadaan semasa sahaja. Khususnya dalam menghadapi kebangkitan semula umat Islam,’’ katanya.
Abdul Hadi berkata, kini sudah ada negara yang berlumba-lumba untuk mendukungsiapa yang menang, kerana melihat peluang untuk berpaut dengan negara yang dianggap besar itu.
‘’Mereka sekadar masih menumpang harapan bagi mengekalkan kuasa di bawah naungan Amerika dan mendapatkan kuasa dengan pertolongannya. Peranan Amerika Syarikat dapat dilangsungkan selagi ada manusia yang terus bersedia manjadi khadam mereka, atau meminta untuk menjadi khadam.
‘’Kelompok itu pasti akan dipergunakan lagi seperti biasa. Segala perancangan Amerika Syarikat akan dapat dilakukan, sekiranya masih ada bangsa dan negara yang bersifat masih dijajah pada hakikatnya, walaupun sudah diisytiharkan kemerdekaan sejak beberapa dekad yang lalu,’’ tegas beliau.
Mereka tegas Abdul Hadi, masih lagi bergantung dengan pengaruh negara bekas penjajah, walaupun negara penjajah itu sudah gugur satu demi satu di negara masing-masing.
‘’Ada yang masih bergantung kewangannya mengikut mata wang Dolar Amerika yang tidak diketahui apakah ada cagarannya atau hanya kertas kosong yang dicetak sahaja. Ada juga yang masih bergantung dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan bantuan riba Yahudi. Konsep Zionis yang dilaknat oleh Allah SWT,’’ katanya.
Beliau berkata, ada yang mendapat bantuan senjata Zionis dengan syarat menjadi khadam mereka, semata-mata demi menjaga kepentingan negara yang masih dianggap kuasa besar.
‘’Mata wang Dolar Amerika tetap mempunyai dua wajah, walaupun satu keping sahaja. Apa yang berbeza hanyalah dua wajahnya sahaja. Namun, ada negara yang masih berdiri dengan meneruskan pergantungan kepada negara sekeping Dolar yang akan lusuh.

‘’Sepatutnya mereka mempunyai jati diri dengan berdikari dan mencari sahabat yang baik atau rendah tahap jahatnya. Bukan bergantung kepada negara yang telah nyata kejahatannya, membantu mereka laksana telunjuk lurus kelingkingnya yang berkait,’’ katanya.
Abdul Hadi berkata, bantuan ekonomi Amerika Syarikat hanyalah untuk meneruskan penjajahan ekonomi selepas penjajahan politik dan ketenteraan, bukanlah untuk menolong.
‘’Senjata yang dibekalkan bukan untuk memperkasakan negara sendiri, tetapi bagi menjaga kepentingan dan keselamatan negara yang menjadi tuan besar itu sehingga sanggup mencetuskan perang saudara bagi pihak tuannya,’’ katanya.