KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia tidak boleh berdiam diri melihat Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbaru yang menyaksikan kedudukan Malaysia turun dari tangga 51 daripada 180 negara pada 2019 kepada 57 tahun lalu.
Menurut Malaysia Corruption Watch (MCW), rakyat negara ini bukan sahaja tidak boleh dalam penafian bahkan turut bertanggungjawab ke atas punca kejatuhan ini kerana masih berdiam diri kepada rasuah.
Selain itu, MCM dalam kenyataan hari itu turut menggesa kerajaan melakukan penambahbaikan segera bagi meneutralisasikan persepsi pelabur dan masyarakat dunia terutamanya hal berkaitan dana parti politik.
Tegas pertubuhan pemantau rasuah itu, kegagalan ini pasti akan memberi kesan yang lebih buruk pada masa hadapan.
Pada masa sama, MCW menegaskan, antara punca kejatuhan ini ialah kerana pengkhianatan segelintir penjawat awam yang terus melakukan rasuah.
“Anggota Pentadbiran yang bersih diminta untuk sentiasa tampil kehadapan melaporkan kes melibatkan rakan sejawat mereka.
“Ketua Jabatan atau unit yang terpalit rasuah mesti juga diberi hukuman berat. Konsep Kepimpinan Melalui Teladan mesti diterapkan semula,” kata MCW.
Baca artikel berkaitan: Rasuah penjawat awam bukan lagi isu terpencil – KP JPA
Rasuah penjawat awam membimbangkan – KP SPRM
Tambah pertubuhan tersebut, usaha keras SPRM dalam membongkar dan menyiasat pelbagai kes rasuah perlu diteruskan dan disokong oleh semua lapisan masyarakat.
Kata MCW, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibebaskan daripada tekanan politik dan bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong melalui Parlimen.
“Sistem Pencegahan Rasuah di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju yang lain.
“Kita terlalu banyak bercakap tanpa buat TINDAKAN dan PELAKSANAAN yang perlu.
“Segala sistem dan alatan yang mampu mencegah rasuah yang telah terbukti berkesan di Barat dan selari dengan ajaran agama perlu diperkenalkan dan diksanakan segera tanpa alasan,” jelas MCW.
Kata kenyataan itu, MCW yakin dan percaya bahawa persepsi ini akan dapat dibaiki dan diubah dengan iltizam yang tinggi dan tepat terutamanya dari pihak kerajaan serta kerjasama semua pemegang taruh.
“Advokasi awam perlu dilipatgandakan oleh semua pemegang taruh khususnya NGOs untuk membanteras budaya rasuah di Malaysia.
“Pemimpin keagamaan di Malaysia juga mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan integriti di mantapkan dalam institusi masyarakat.
“Semua anggota masyarakat dan Ahli MCW terutamanya diminta untuk memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan usaha membenteras rasuah di Malaysia mencapai kejayaan yang diinginkan,” kata kenyataan itu.
Kedudukan Malaysia dalam CPI bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.
Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, tahun lepas Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100, kurang berbanding skor 53 yang dicatatkan pada tahun 2019.
Menurutnya, antara faktor kepada penurunan itu adalah kerana kegagalan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembiayaan Politik, serta beberapa pendakwaan rasuah yang digugurkan.