Anggota polis menjalankan siasatan di sebuah rumah yang didapati membunuh kucing untuk dimakan dan dijual di Medan, Indonesia.


KUALA LUMPUR – Kucing ditangkap, disembelih untuk dimakan dan dijual. Begitulah kekejaman yang dilakukan oleh seorang lelaki di Medan, Indonesia.

Segalanya terbongkar apabila seorang wanita mencari kucingnya yang hilang sejak dua hari lalu menemukan binatang kesayangan itu sudah terpotong-potong dalam satu guni di sebuah rumah.

Beberapa media di negara itu melaporkan, Sonia melalui akaun instagramnya @soniarizkikarai pada Rabu lalu mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu.

Katanya, segala bermula apabila dia mahu mencari kucingnya yang hilang dan diberitahu ada seseorang memasukkan haiwan itu dalam guni.

‘’ Setelah bertanya-tanya ke sana dan ke mari akhirnya ada yang lihat kucing saya dimasukkan ke goni (guni) sama orang yang katanya udah (sudah) sering ngambilin (mengambil) kucing,” katanya.

Dia berkata, individu tersebut dikatakan sering melakukan perbuatan tersebut di mana kucing yang diambil akan dibunuh, dipotong-potong dan dijual dengan harga Rupiah 70,000 (RM24).

Portal tribunnews melaporkan, Sonia berkata, selepas mendapat maklumat itu dia pergi ke sebuah rumah dan bersemuka dengan individu tersebut.

“Akhirnya saya memberanikan diri untuk langsung ke rumahnya, awalnya tetangga (jiran) di sana ngasih (beri) tahu rumah yang salah, sampai akhirnya saya bertanya sama anak-anak (kanak-kanak) di situ dan mereka menunjukkan rumah yang benar.

Setiba di lokasi saya bertanya mana bapak A mereka langsung bilang ada perlu apa? Saya jawab saya mau (mahu) ngomong (cakap) langsung (terus) sama bapak A,” tulisnya.

Pada mulanya, lelaki itu mendakwa isi dalam guni adalah daging anjing hingga akhirnya dibuka ternyata daging kucing.

“Setelah membukanya kami melihat banyak kepala kucing bahkan kucing yang sedang hamil juga ada,” tulis Sonia yang menjelaskan dia menangis semahu-mahunya kerana di dalam guni itu terdapat kepala kucing miliknya ‘Tayo’.

Lanjutan itu Sonia membuat laporan polis bagaimanapun belum mendapat apa-apa maklumat hasil siasatan yang dijalankan.

Sementara itu seorang penduduk, Anggiat Sipahutar yang tinggal tidak jauh dari rumah pembunuh kucing itu mendedahkan, lelaki tersebut ‘menyembelih’ kucing untuk dimakan.

‘’Dia itu aja (sahaja) kerjanya, motong kucing. Untuk dijualnya, untuk dimakannya, untuk cari makannya, tiap hari,” kata Anggiat.