KUALA LUMPUR – Walaupun skor dan kedudukan negara menurun sedikit dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 namun dasar dan komitmen kerajaan dalam memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan adalah jelas dan berterusan.

Sehubungan itu Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan menegaskan, kerajaan tidak pernah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pelaku rasuah serta tindakan tegas akan diambil mengikut prinsip ‘rule of law’.

‘’Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga sentiasa melihat kepada kaedah dalam meningkatkan tadbir urus dalam pentadbiran kerajaan,’’ kata kenyataan tersebut.

Kata kenyataan itu lagi, seperti mana yang telah dimaklumkan pada peringkat awal pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) masih diteruskan bagi meningkat tadbir kerajaan selain mengurangkan dan menutup peluang-peluang rasuah dalam pentadbiran kerajaan.

Semalam laporan CPI oleh Transparency International Malaysia (TI-M) menyaksikan kedudukan Malaysia merosot enam anak tangga kepada kedudukan 57.
Indeks itu merupakan kajian persepsi pertubuhan berkenaan di seluruh dunia membabitkan lebih 100 negara. Singapura berada di kedudukan keempat secara keseluruhan.