Memeluk Islam 10 Hari Sebelum Kematian
Insiden yang berlaku di tanah perkuburan Highgate itu mengejutkan media massa Britain. Bila pula Litvinenko memeluk Islam, sedangkan dia bertarung nyawa ketika dirawat di hospital?
Kontroversi pengislaman bekas perisik Rusia ini terjawab apabila Walter dan Akhmed tampil memberi kenyataan kepada media.
Walter menjelaskan, Litvinenko memberitahunya tentang pengIslamannya dua hari sebelum kematiannya.
Bagi Walter, dia tiada masalah untuk anaknya itu memeluk Islam. Walaupun dia seorang Kristian, anak perempuannya berkahwin dengan orang Islam keturunan Kabardin di utara Caucasus, Rusia.
Menerusi perbualan dengan Litvinenko yang ketika itu sedang terlantar di hospital, Walter memberitahu bahawa anaknya itu sebenarnya sudah lama berfikir untuk menjadi Muslim dan sudah mula mengkaji Islam secara diam-diam.
Kekecewaan Litvinenko dari segi rohani dikatakan mulai terubat menerusi persahabatannya dengan rakan-rakan Islam Chechen. Antara mereka ialah Akhmed Zakayev, jiran dan rakan baiknya. Akhmed merupakan pejuang pemisah Chechen yang mendapat suaka politik oleh kerajaan Britain.

Akhmed turut memberitahu media bahawa ketika mula-mula jatuh sakit, Litvinenko ada bertanyakan bagaimana sekiranya dia mahu memeluk Islam.
“Saya memberitahu, itu adalah keputusan peribadinya. Saya tidak menghalang apa sekalipun agama yang dianutinya, asalkan dia tidak melakukan perkara-perkara yang keji. Tetapi dia tidak berpuas hati dan tetap mengulangi topik berkenaan berkali-kali, bahawa dia benar-benar mahu memeluk Islam. Tidak lama selepas itu, dia mengucap dua kalimah syahadah. Dengan itu, maka dia sah sebagai seorang Islam,” jelas Akhmed menjawab tanda tanya tentang bagaimana Litvinenko boleh memeluk Islam.
Menurut Akhmed lagi, selepas mengucap syahadah, dia melihat Litvinenko berada dalam keadaan yang cukup tenang, sedangkan dia lesu tidak bermaya ekoran penderitaan yang ditanggung akibat kesan radioaktif di dalam tubuhnya.

Malah beberapa hari sebelum kematiannya, Litvinenko menguatkan semangatnya untuk bekerjasama dengan pihak polis selama 16 jam tanpa henti ketika soal siasat dijalankan mengenai bagaimana dia diracun dengan radioaktif itu.
Pada 22 November iaitu sehari sebelum kematiannya, Litvinenko meminta Akhmed membawa seorang imam ke kamarnya di hospital. Dia mahu imam itu membaca surah Yasin dan mengajarnya mengucap.
“Saya mendapatkan kebenaran isterinya dulu. Setelah mendapat keizinan, barulah saya membawa imam seperti mana permintaannya,” ujar Akhmed.
PengIslaman Litvinenko turut mendapat perakuan daripada pemimpin Muslim Parliament Of Great Britain, Dr. Ghayasuddin Siddiqui yang mengatakan bahawa bekas agen KGB itu memeluk Islam 10 hari sebelum kematiannya. Sebelum upacara pengebumian Litvinenko di tanah perkuburan Hightgate, jenazahnya telah disembahyangkan di Masjid Regent di Regent’s Park, London.
Akhmed agak kesal kerana tidak dapat menunaikan sepenuhnya hasrat Litvinenko yang mahu jenazahnya diuruskan sepenuhnya mengikut cara-cara Islam.
“Sepatutnya jenaza beliau dimandi dan dikapankan. Tetapi ia tidak dapat dilaksanakan memandangkan risiko pencemaran radioaktif yang terlalu besar dalam tubuhnya, maka jenazahnya tidak dapat dikeluarkan daripada kerandanya sewaktu sembahyang jenazah dijalankan,” akui Akhmed.
Atas sebab yang sama juga, Akhmed tidak dapat menunaikan satu lagi permintaan akhir Litvinenko yang mahu jenazahnya dikebumikan di bumi Chechnya.


