KARL Shafek kini perlu menjalani pemeriksaan darah setiap bulan

KUALA LUMPUR – Pengacara Karl Shafek memberitahu dia kini perlu menjalani rutin pemeriksaan darah setiap bulan bagi memantau tahap keradangan dalam tubuh badannya.

Ia terpaksa dihadapi oleh Karl akibat mengalami Ankylosing Spondilitis sejak setahun yang lalu. Kesan daripada penyakit yang dialami akan menyebabkan bacaan darahnya tidak sama seperti manusia normal yang lain.

“Rutin setiap bulan. Pemeriksaan darah untuk pantau tahap keradangan dalam badan sejak setahun lepas. Harap hasil keputusan darah keluar nanti tidaklah tinggi sangat radang dalam badan ini.

“Bagi manusia normal, bacaannya ialah tiga hingga lima sahaja, tetapi saya dalam lingkungan 60 hingga 80. Pernah turun tiga kali sahaja ke tahap 35 hingga 45.

“Tapi nak dapat normal bawah 10 memang susah dah sebab Ankylosing Spondilitis,” ujarnya.

KARL memberitahu bacaan darahnya tidak sama seperti manusia normal lain

Tambah Karl atau nama penuhnya Khairul Shafek Ibrahim,40, dia terpaksa mengambil sejumlah ubat-ubatan setiap hari bagi mengawal kesakitannya dan mengelakkan keradangan berada pada tahap membimbangkan.

“Setiap hari telan ubat tahan sakit sampai lima hingga enam jenis. Kalau radang itu naik sampai 70 hingga 80 memang kena berjaga-jaga.

“Masa itu, ia boleh menyerang mata atau tisu dalam badan yang lain. Setakat ini, sakit belakang memang sentiasa ada dan perlu menjalani sesi fisioterapi bagi mengurangkan kesakitan.

“Adakala sakit sangat, tapi mungkin sebab sudah terbiasa jadi hadap sahajalah. Mental kena betul-betul kuat untuk lawan. Semoga Allah SWT gugurkanlah dosa-dosaku,” katanya.

Ankylosing Spondylitis ialah keadaan sendi yang menyakitkan. Sendi bahagian belakang boleh bercantum dalam ankylosing spondylitis hingga mengakibatkan postur badan membongkok.

Bahagian yang paling kerap terkesan ialah bahagian belakang, dada dan leher. Sendi lain yang boleh terkesan termasuklah peha, bahu, lutut, dan buku lali. Penyakit ini juga boleh memberi kesan kepada organ lain seperti mata, jantung dan paru-paru.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi