KUALA LUMPUR – Kes positif COVID-19 yang dilaporkan hari ini adalah paling tinggi pernah direkodkan dengan 5,725 kes.
Selain itu, 16 lagi kematian akibat virus itu dilaporkan di seluruh negara hari ini.
Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor mencatatkan kes tertinggi dengan 3,126 penularan baharu hari ini.
Ini diikuti Kuala Lumpur dan Johor dengan masing-masing 687 kes dan 684 kes.
Hari ini merupakan hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Melaka, Labuan, Sabah dan Pulau Pinang.
Baca artikel berkaitan: PKP atau PKPB: ‘Tunggu keputusan muktamad MKN’
Dr Noor Hisham jangka PKP tak lebih 4 minggu
Sebelum ini, kes tertinggi yang pernah direkodkan ialah pada 23 Januari lalu dengan 4,275 kes.
COVID-19 terus catat rekod kes baharu tertinggi dengan 4,275 kes
Lanjutan PKP : Tiada penutupan ekonomi sepenuhnya, hanya langkah bersasar – Tengku Zafrul
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,423 kes sembuh dicatatkan dalam tempoh sama, menjadikan angka kumulatif sembuh daripada COVID-19 berjumlah 157,722 orang.
Katanya, sebanyak 16 kematian dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 733 kes.
Selangor mencatatkan sembilan kematian, dua di Sabah dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Sarawak, Melaka, Kelantan dan Perak.
“Pada masa ini terdapat 301 kes yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12 kluster baharu dikesan hari ini dengan 10 melibatkan tempat kerja dan dua lagi merupakan kluster komuniti.

Kluster di tempat kerja merangkumi enam di Johor, iaitu Kluster Jalan Kota Buruk, Kluster Jalan By Pass, Kluster Jalan Bistari Dua, Kluster Jalan Empayar dan Kluster Jalan Rusa Scientex.
Baki empat lagi masing-masing dua di Kuala Lumpur iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Klang dan Kluster Tapak Bina Jalan Vista; dan di Selangor, iaitu Kluster Persiaran Subang dan Kluster Industri Indah.
Kluster komuniti pula ialah Kluster Tinanom di Sabah dan Kluster Tabong di Sarawak.