sprm

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meneliti dan mengkaji cadangan penambahbaikan yang dikemukakan Transparency International Malaysia (TI-M) dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini.

Menurut SPRM, ia membabitkan mana-mana cadangan berkaitan bawah bidang kuasa suruhanjaya itu bagi menyumbang kepada skor lebih baik bagi Malaysia pada masa akan datang.

“SPRM mengambil maklum berhubung kedudukan dan skor Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020 seperti diumumkan oleh TI-M semalam.

“Kita akan meneliti dan mengkaji cadangan penambahbaikan yang dikemukakan oleh TI-M dalam usaha pencegahan rasuah di negara ini,” kata SPRM dalam kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan: Skor indeks rasuah jatuh, pengkhianatan segelintir penjawat awam antara punca – MCW

Pada masa sama, SPRM menyambut baik maklum balas positif berhubung CPI 2020 berkaitan Pelan Antirasuah Nasional (NACP), penguatkuasaan Seksyen 17A Akta SPRM serta siasatan kes berprofil tinggi yang sedang berjalan.

Media semalam melaporkan, Malaysia jatuh enam anak tangga kepada kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, dalam CPI 2020 dikeluarkan Transparency International (TI).

Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan, dilaporkan berkata Malaysia melonjak ke tangga 51 tahun lalu berbanding kedudukan ke-61 dalam CPI sebelum itu.

Kali ini, Malaysia mencatat skor 51 daripada 100 berbanding skor 53 pada 2019, berdasarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara dengan mengikut skala 0 (paling korup) hingga 100 (paling bersih).