KUALA LUMPUR – Tidak benar Muhammad Sanusi Md Nor akan digantikan sebagai Menteri Besar Kedah, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Malah menurut Takiyuddin, Pas secara umumnya berpuas hati dengan prestasi Muhammad Sanusi sepanjang menerajui kerajaan negeri Kedah.

Becakap kepada Malaysiakini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) itu berkata, apa-apa perkara berkait soal pentadbiran, itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Tak timbul langsung isu tukar MB Kedah tu, secara umumnya Pas berpuas hati dengan prestasi Sanusi,” katanya seperti dilapor portal berkenaan.

Sementara itu, Takiyuddin juga menafikan beliau akan menggantikan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar Kedah selewat-lewatnya selepas pilihan raya umum akan datang.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, dia masih wakil rakyat Kelantan setakat ini.

Terdahulu portal Malaysia Dateline memetik sumber berkata pemimpin Pas Kelantan itu akan menggantikan Sanusi, paling lewat selepas pilihan raya umum akan datang.

Spekulasi itu hadir selepas Muhammad Sanusi dikecam berhubung isu cuti peristiwa bagi perayaan Thaipusam di Kedah dan beberapa isu lain.

Laporan tersebut mengatakan Takiyuddin pemimpin Pas yang sesuai menggantikan Sanusi memandangkan dia merupakan anak kelahiran Kedah dan keluarganya mempunyai reputasi yang baik di negeri itu.

Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeniri dilantik sebagai menteri besar Kedah yang ke-14 menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir selepas negeri itu jatuh ke tangan Perikatan Nasional pada Mei lalu.