Ada pegawai kanan polis cuai dalam siasatan, dedah Ayob Khan

Dari Penulis


JOHOR BAHRU – Sebahagian pegawai kanan polis didapati cuai dalam siasatan membabitkan kes jenayah, narkotik atau jenayah komersial hingga suspek terlepas.

Ada juga beberapa kes suspek yang sudah dijatuhkan hukuman tetapi kelemahan tapisan keselamatan oleh polis membolehkan pesalah bekerja dengan syarikat swasta dan sektor awam, termasuk dalam perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kelemahan dalam perkhidmatan polis ini didedahkan oleh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dalam Amanat Ketua Polis Johor dan laporan prestasi 2020 yang disiarkan dalam Facebook Polis Johor.

Dalam ucapan itu, beliau menegaskan akan mengambil tindakan tatatertib terhadap mereka yang berkenaan.

Menurutnya, audit yang dijalankan pegawai Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mendapati ada kertas siasatan yang sudah mendapat arahan tuduh di mahkamah daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya hampir tujuh bulan, tetapi tidak diambil tindakan oleh pegawai penyiasat.

Kata beliau, ada juga pegawai penyiasat tidak menghantar kertas siasatan untuk edaran pertama dalam tempoh 24 jam dan terdapat kes tertentu tiada pengedaran kes dalam tempoh tiga bulan.

“Ada pula pegawai penyiasat tidak edarkan kertas siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya, walaupun sudah mendapat laporan kimia dan patalogi menyebabkan tiada waran tangkap dimohon sehingga orang kena tuduh (OKT) gagal dikesan.

“Terdapat juga kes pegawai penyiasat kanan atau ketua bahagian yang tidak teliti dan memberi arahan terlalu ringkas kepada pegawai penyiasat sehingga ketirisan pada kertas siasatan berlaku dengan kegagalan itu mempunyai kesan besar membabitkan rekod jenayah suspek atau banduan,” katanya.

Ini, tambah Ayob Khan, menjadi punca utama ada pesalah yang dijatuhkan hukuman tetapi melepasi tapisan keselamatan pihak berkuasa sehingga ada dalam kalangan mereka ini masih bekerja dalam sektor awam, swasta termasuklah dalam PDRM sendiri.

Katanya, IPK Johor akan menghantar pasukan petugas khas untuk memeriksa secara mengejut kertas siasatan di semua daerah, mulai bulan depan.

Katanya, jika ada kelemahan pada penyeliaan kertas siasatan sama ada pada peringkat pegawai penyiasat, pegawai penyiasat kanan, ketua bahagian dan ketua polis daerah, mereka akan dikenakan tindakan tatatertib.

“Apa yang jelas di sini ialah kurangnya penyeliaan pada peringkat daerah dan ini fakta. Seharusnya tiada lagi alasan kerana semua peringkat berkenaan berpengalaman luas dalam bidang dan tanggungjawab masing-masing.

“Dalam konteks rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan penjenayah, dadah dan penyeliaan, tiada tolak ansur dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” tegasnya. – UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This