Anak lelaki monyet
Masyarakat hanya tau mengeji tapi masyarakat tidak pernah memikirkan bahawa kedua hati kami sudah lama terpaut kasih mesra yang tak bisa renggang lagi. Aku cuba menghiburkan Lela.
“Biar mereka ketawa sepuas hati. Boleh jadi mereka gila.”
Kami mulai hidup. Aku tak mau berkata bahawa perkongsian kami menggembirakan. Masyarakat mengeji kami tapi kami tak peduli. Kami sanggup hidup dan sanggup pula menempuh sebarang rintangan.
Dan kemudian kisah berlanjut lagi. Lela bunting. Tak lama lagi akan melahirkan anak. Rupa monyetku dan mata buta Lela tidak menghalagkan apa-apa. Kami menulikan sebarang ejekan. Kegembiraan yang tak pernah diharap-harapkan itu kini ada di hadapan. Aku menjadi seorang kekasih, seorang suami yang tak lama lagi akan menjadi seorang bapa pula. Aku berterima kasih pada Tuhan. Dialah yang Maha Besar. Pujianku pada Tuhan kerana membutakan mata Lela.

Tapi Lela jatuh sakit dua bulan sebelum melahirkan anak. Aku bawa dia ke doktor. Doktor memeriksanya. Aku minta agar doktor dapat menyelamatkan Lela. Kata doktor, “Ini tidak merbahaya. Aku akan menyembuhkannya.”
Beberapa ketika kemudian doktor berkata lagi: “Adakah isterimu buta sejak dari kecil?”
Apabila sudah aku memberi jawapan, doktor memeriksa mata Lela pula dan kemudian berkata pula: “Melalui pembelahan aku dapat menyembuhkan matanya supaya boleh melihat semula. Tapi sekarang tidak boleh. Biar dia melahirkan anak dulu kemudian kita cuba uruskan tentang pembelahan matanya pula.”

Kenyataan doktor ini bukan saja menggelisahkan perasaanku tapi juga hidupku. Katanya dia boleh menyambung mata Lela. “Apabila dia dapat melihat, tidakkah dia terkejut memandang wajah monyetku yang selama ini dianggap sebagai manusia yang paling jujur dan kasih sayang? Mungkinkah dia mencintai dan menghormati aku lagi? Bagaimanakah aku patut terangkan pada doktor? Tidak! Matanya tidak boleh disembuhkan,” bisikku dalam hati. Tapi yang sebenar aku berkata pada Lela ialah : “Lela, doktor sanggup menyembuhkan matamu. Kau akan melihat semula.”
Bagaimana cara menerangkan padanya bahawa matanya apabila disembuhkan kelak akan merosakkan kehidupan dan kasih sayang kami? Tapi Lela tidak tau apa yang sedang berlaku dalam hatiku. Lela berkata: “Kalau dapat kulihat semula, bukankah kau juga turut gembira? Kau akan mencintai aku lebih dari sekarang.”
Mukanya berseri kepuasan walaupun keadaannya waktu itu kurang sihat.
Doktor memberi penerangan lagi dan menceritakan padaku cara-cara melakukan pembelahan mata itu.
“Datang padaku bila dia selesai bersalin,” kata doktor. “Aku akan ceritakan lebih lanjut lagi.”
Lela tenang semula. Cuma aku yang tak dapat menahan kegelisahan itu. Kepalaku penuh dengan fikiran-fikiran ganas dan buas. Aku pergi ke hujung beranda dan duduk di situ. Hanya di dalam pondokku yang kecil ini sahajlah yang dapat menenteramkan fikiranku. Dunia untukku selalu sempit.