Kuala Lumpur – Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menasihatkan pegawai dan anggota pasukan itu agar tidak bimbang apabila berhadapan dengan tohmahan dan kritikan pihak luar atau orang awam.

Katanya, mereka tidak perlu bimbang selagi pegawai dan anggota terlibat menjalankan tugas mengikut undang-undang, prosedur operasi standard (SOP) dan ikhlas.

‘’Selebihnya kita serah kepada Allah SWT. Jangan bimbang, jangan gusar dan jangan gabra dengan kritikan dan tohmahan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

‘’Jangan bimbang populariti kita jatuh, jangan bimbang follower FB Kontinjen Johor akan menurun dan jangan bimbang instagram Polis Johor akan merosot. Kita bukan nak jadi artis, Youtuber atau nak bertanding dalam pilihan raya. Prinsip dan pegangan kita ialah ikhlas, amanah, tegas dan berhemah,’’ katanya.

Beliau berkata demikian demikian dalam Amanat Ketua Polis Johor dan laporan prestasi 2020 yang disiarkan dalam Facebook Polis Johor, hari ini.

Ayob Khan juga memberi jaminan bahawa beliau tetap akan mempertahankan pegawai dan anggota polis apabila mereka berhadapan dengan tohmahan, kritikan, kecaman dan diugut.

‘’Saya tidak akan membiarkan pegawai dan anggota saya ‘dibelasah’ ini bukan prinsip saya, boleh semak track record saya ketika saya bertugas di Bahagian E8 Bukit Aman. Saya bertanggungjawab terhadap semua pegawai dan anggota saya sebarang kelemahan dan kekhilafan anak-anak buah, saya akan bertanggungjawab,’’ katanya.

Beliau turut menegaskan boleh bertolak ansur dan mempertahankan mereka dalam isu tersebut tetapi tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dalam konteks perbuatan rasuah, salah laku dan bersekongkol dengan penjenayah, dadah serta penyeliaan.

Dalam melangkah ke hadapan, kata beliau, Polis Johor akan terus menumpukan usaha untuk membanteras sebarang aktiviti jenayah, dadah, gangsterisme, penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin serta isu-isu keselamatan dan ketenteraman awam.

‘’Tiada tolak ansur terhadap sebarang aktiviti jenayah dan anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam di Johor. Kami akan memastikan elemen ‘Fear Of Crime’ dikurangkan dan dihapuskan terus dalam kalangan masyarakat di Johor bukan sekadar KPI dan penurunan statistik jenayah,’’ tegasnya.