RONDAAN keselamatan di taman perumahan dibenarkan tetapi harus mengikuti SOP.

KOTA TINGGI – Aktiviti kemasyarakatan seperti rondaan keselamatan di kawasan perumahan, misi menyalurkan bantuan banjir serta aktiviti penyediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan ketika ini.

Bagaimanapun, aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) itu dibenarkan dengan hanya melibatkan program tertentu seperti di atas tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pada masa ini terdapat 8,274 KRT dan 5,333 SRS yang aktif di seluruh negara.

“Aktiviti komuniti seperti kursus, bengkel dan lain-lain yang melibatkan ramai orang masih tidak dibenarkan… yang dibenarkan hanya program berbentuk kemanusiaan. Sebagai contoh, dalam berdepan bencana banjir lepas, kita tetapkan SRS untuk membantu menjaga keselamatan kawasan kediaman.

“Ini kerana ketika rakyat berdepan musibah, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan melakukan aktiviti tidak sihat seperti pecah rumah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada program Misi Bantuan Banjir Negeri Johor anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), di sini hari ini.

Bernama melaporkan Halimah berkata antara KRT aktiviti dibenarkan termasuk program menjahit PPE untuk kegunaan petugas barisan hadapan dalam menangani COVID-19, dengan peruntukan geran daripada Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“KRT ini sudah diperkasakan supaya peranan mereka kepada komuniti nampak jelas. Di Johor, antara KRT yang terlibat untuk aktiviti ini adalah KRT Senggarang. Selain itu, KRT juga dibenarkan untuk menyediakan bekalan keperluan asas kepada mangsa banjir,” katanya.

Pada 14 Jan lepas, Halimah memaklumkan semua operasi jentera perpaduan negara ditangguhkan sementara berikutan pelaksanaan semula PKP di beberapa negeri susulan peningkatan kes COVID-19.

Berhubung misi bantuan itu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi menghargai usaha yang dilakukan MAIWP dalam menyantuni mangsa banjir, terutama apabila ramai daripada mereka turut hilang pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata pihaknya menyediakan bantuan berjumlah RM5 juta kepada empat negeri yang terjejas teruk akibat banjir, baru-baru ini. – UTUSANTV