KUALA LUMPUR – Sebanyak 5,298 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, turun 430 kes berbanding semalam.

Walaupun demikian, jumlah yang direkodkan hari ini adalah ketiga tertinggi pernah dilaporkan setakat ini selain merupakan hari ketiga berturut-turut kes baru melepasi angka 5,000.

Menurut media sosial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Selangor yang memasuki hari ke-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terus melaporkan kes tertinggi dengan 2,460 kes.

Ini diikuti negeri-negeri PKP lain yang dikuatkuasakan sejak 13 Januari lalu iaitu Johor dengan 1,020 kes, Kuala Lumpur (783 kes), Sabah (298 kes) dan Melaka 153 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga daripada kes baharu hari ini membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Baca artikel berkaitan: COVID-19 terus catat rekod! – 5,728 kes baharu, Selangor 3,825 kes

Menurut beliau, pertambahan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 214,959 kes manakala kes aktif yang sedang dirawat berjumlah 48,150 kes.

FB KKM

Katanya, seramai 313 pesakit COVID-19 kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 127 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Sebanyak 14 kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kematian COVID-19 kini berjumlah 760 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan 12 kes di Selangor, serta masing-masing satu kes di Sarawak dan Kuala Lumpur.

“Semua kes kematian pada hari ini melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan terdapat 10 kluster baharu yang dikenal pasti pada hari ini dengan tujuh kluster berkaitan tempat kerja, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, dan satu kluster komuniti.

Empat daripada kluster berkenaan dilaporkan di Johor, manakala masing-masing dua di Selangor dan Perak diikuti satu di Kuala Lumpur dan Melaka.

Dalam pada itu, jelas Noor Hisham, kes harian baharu yang melebihi 5,000 sehari sejak Jumaat lalu disebabkan oleh pelaporan lewat kes-kes ke CPRC Kebangsaan KKM termasuk kes-kes yang dikesan positif pada tahun 2020.

“Peningkatan kes yang mendadak ini adalah disebabkan oleh saringan bersasar di tempat kerja, saringan kontak rapat, dan saringan kumpulan berisiko tinggi yang dijalankan secara besar-besaran di beberapa buah negeri.

“Namun begitu, kes-kes yang lewat dilaporkan ini telah diambil tindakan sewajarnya di lapangan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkenaan  seperti pengasingan dan rawatan ke atas kes-kes positif, pengesanan kontak rapat serta pengesanan kes secara aktif,” ujarnya.