Ahmad Said dan isteri pulih dari COVID-19 semalam selepas 19 hari menerima rawatan di HSNZ, Kuala Terengganu. / Gambar FB Ahmad Said

KUALA TERENGGANU – Selepas 19 hari dirawat akibat COVID-19, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan isteri, Toh Puan Seri Norliza Mahmud kini pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) petang semalam.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal dan Norliza dimasukkan ke HSNZ, selepas disahkan positif COVID-19, pada 12 Januari lalu.

“Penghargaan dan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan dan memberi sokongan kepada kami.

“Hari ini kami telah dibenarkan pulang untuk berehat dan dikuarantin selama 10 hari lagi di rumah,” katanya menerusi Facebook beliau.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu dan isteri dibenarkan pulang selepas disahkan pulih sepenuhnya, kira-kira jam 6.30 petang semalam.

“Kesihatan kami juga bertambah baik selepas mengalami deria bau dan rasa sejak Rabu lalu.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada warga HSNZ yang telah memberi perkhidmatan terbaik kepada kami sepanjang masa menerima rawatan,” katanya.

Baca artikel berkaitan: 12 hari bertarung COVID-19 termasuk 3 hari di ICU, Tok Pa kini dibenar discaj

Ahmad turut menasihatkan masyarakat tidak menyembunyikan tahap kesihatan mereka dengan pegawai perubatan ketika menjalani proses rawatan.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar negara kita sekarang pulih daripada pendemik Covid 19 dengan kadar yang segera jua. Insyaa Allah.

“Sama-sama kita jaga SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Selain Ahmad, beberapa pemimpin politik kanan termasuk empat orang Menteri turut dijangkiti virus berkenaan.

Antara yang sudah memulakan tugas rasmi selepas pulih dari COVID-19 ialah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Rina Harun.