KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas dalam buku terbarunya mendakwa Yang di-Pertuan Agong mahu melantik Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Perdana Menteri interim susulan peristiwa Langkah Sheraton awal tahun lalu hingga menyaksikan kedudukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) goyah dan kemudian tumbang.

Dakwa Tommy, bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan kemudiannya mahu pemimpin lain sebagai Perdana Menteri interim tetapi kemudian beliau sendiri pula hendak berada di kedudukan tersebut.

“Ini mungkin tidak pernah berlaku dalam politik moden. Seorang Perdana Menteri yang sedang berkuasa dengan selesa, berhenti secara sukarela.

“Beliau sepatutnya konsisten dengan keputusan berkenaan dan berundur dari arena politik selepas memegang jawatan paling utama di negara ini,” kata Tommy dalam bukunya My Story: Justice in the Wilderness seperti dilaporkan portal The Vibes.com.

Buku berkenaan diterbitkan Strategic Information and Research Development Centre.

Bekas Peguam Negara itu menekankan andai pelantikan Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam Kabinet Mahathir berlaku, ia akan menjadi satu keputusan berperlembegaan.

Tambahan keputusan Dr Mahathir untuk membubarkan Kabinetnya selepas meletak jawatan adalah membingungkan bagi Tommy yang membangkitkan bila seseorang Perdana Menteri meletak jawatan, Kabinetnya kebiasannya akan kekal.

“Mesti ingat, peletakan jawatan Tun adalah hal personal sebagai Perdana Menteri. Peletakan jawatannya hanya berkait kedudukan beliau, bukan kerajaan keseluruhannya,” kata Tommy.

Tommy juga tekankan sejak peletakan jawatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada September 1970, semua yang menjadi Perdana Menteri adalah mereka yang merupakan Timbalan Perdana Menteri sebelumnya.

Satu lagi kejadian penting yang dikongsinya ialah nasihatnya sendiri ketika masih menjadi Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Tommy mengatakan bahawa beliau menasihati Seri Paduka bahawa cara terbaik untuk menentukan Ahli Parlimen (MP) mana yang mempunyai keyakinan Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri adalah Dewan Rakyat itu sendiri.

Beberapa hari kemudian, Tommy dipanggil untuk bertemu dengan Dr Mahathir lagi, yang memberitahunya bahawa keputusan Seri Paduka untuk melantik Perdana Menteri berikutnya melalui akuan berkanun terbukti tidak meyakinkan.

Agong nampaknya menyuruh Dr Mahathir memanggil sidang Dewan Rakyat untuk sesi tergempar bagi memutuskan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Tommy sebagai Peguam Negara, menyiapkan surat untuk Perdana Menteri bagi diutuskan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Namun, katanya, sebelum suratnya diserahkan, surat serupa telah dikirimkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dari Pejabat Perdana Menteri.

Pada 28 Februari tahun lalu, pada hari Jumaat, Tommy menghadiri perjumpaan yang dijadualkan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika itu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Namun, beliau diberitahu oleh Ariff bahawa yang terakhir telah dipanggil untuk menemui Agong.

Hanya semasa dalam perjalanan pulang ke pejabatnya, Tommy membuat keputusan untuk meletak jawatan – mengetahui bahawa pentadbiran Pakatan Harapan telah runtuh.

“Apa yang terjadi dengan usaha memanggil Dewan Rakyat bagi membahaskan usul siapa MP yang mendapat keyakinan majoriti? Malangnya, pada hari Jumaat petang, Ariff memutuskan untuk menolak surat Dr Mahathir kerana alasan teknikal semata-mata. “

Tommy kemudian mengatakan bahawa keputusan Ariff adalah salah.

Beliau berkata, jika Dewan Rakyat bersidang, undang-undang perlembagaan akan dipatuhi dan kesahihan pemilihan Perdana Menteri tidak akan dipersoal.

My Story: Justice in the Wilderness kini tersedia untuk dibeli. Mereka yang berminat mendapatkan buku itu boleh melakukannya melalui laman web Gerakbudaya.