Kebiasaannya orang memandang jijik dengan sampah sarap. Tetapi ada diantara kita yang mendapat rezeki daripada timbunan sampah sarap itu. Malah, ada yang mampu menjadi jutawan kerana sampah di luar negara.

Seorang bekas pekerja bank bernama Jason Mohr boleh dijadikan contoh. Dia sanggup meletak jawatan semata-mata untuk membuka sebuah syarikat mengitar semula sampah. Apa yang menariknya, lelaki ini rela melepaskan gaji tahunan yang dibayar majikannya sebanyak £250,000 pound sterling.  

Keputusan berani yang dibuat Jason ternyata berbaloi apabila syarikat miliknya berjaya mengaut keuntungan sebanyak 16 kali ganda(£4 juta pound sterling) daripada gaji lamanya. Syarikatnya yang diberi nama Any Junk, berkembang maju sehingga disenaraikan sebagai salah sebuah syarikat mengitar semula sampah yang terbesar di London, England. 

Jason berani mengambil risiko meninggalkan bank untuk mencari rezeki melalui sampah.

Jason yang menubuhkan syarikat ini pada tahun 2004, pada mulanya menumpukan pengitaran semula bahan buangan pejabat seperti meja, kerusi, peralatan komputer, kertas dan plastik. Kemudiannya, operasi syarikat tersebut diluaskan lagi ke beberapa tempat lain termasuk kawasan perniagaan dan perumahan orang awam. Menggunakan logo seekor gajah berwarna putih dan trak berwarna merah, syarikat milik lelaki ini akan berada pada setiap tempat  di sekitar bandar London. 

Sama juga kisahnya di Vancouver, Kanada. Ada seorang lagi lelaki yang berjaya menjadi jutawan hasil daripada sampah. Menggunakan slogan ‘Kami akan sembunyikan sampah anda dalam sekelip mata’,  Brian Scudamore telah berjaya menubuhkan sebuah syarikat penyingkiran bahan buangan yang diberi nama ‘1800-Got Junk’ pada tahun 1989. 

Brian Scudamore.

Ketika awal penubuhan syarikatnya, Brian hanya menjalankan operasi mengutip sampah dengan sebuah trak pengangkut yang berharga USD$700. Ekoran sambutan hangat yang diterima, lelaki ini akhirnya berjaya meluaskan operasi syarikat miliknya di dua buah negara iaitu Amerika dan Australia. Kini, Brian boleh dianggap taikun dalam bidang perniagaan sampah selepas berjaya menubuhkan lebih 220 francais yang dianggarkan bernilai lebih USD$100 juta. 

Lain pula kisahnya dengan seorang lelaki bernama Curt Degerman, dari Skelleftea, Sweden. Dia selalunya akan memulakan tugasnya di sekitar kaki lima dan lorong-lorong belakang bangunan. Satu persatu tong sampah akan diselongkarnya untuk mencari seberapa banyak barang terpakai sebelum menjualnya ke sebuah pusat sekitar semula.

Bagi masyarakat setempat, lelaki ini dikenali dengan sifat pengotor yang suka memakan sisa-sisa makanan dari tong sampah. Disebabkan itu, ramai orang sekeliling termasuk saudara-maranya sendiri memandang rendah dan jijik terhadap lelaki ini.

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu rahsia Degerman. Dalam diam-diam, dia sebenarnya adalah seorang jutawan. Bermodalkan wang simpanan hasil sampah yang dikutipnya, Degerman dikatakan memiliki kekayaan rahsia bernilai USD $ 1.6 juta (RM 5.21 juta) menerusi pelaburannya di pasaran saham.

Menurut sebuah laporan akhbar, The telegraph, Degerman merupakan seorang pelabur yang sangat aktif dalam pasaran saham antarabangsa. Biarpun penampilannya selekeh, lelaki ini dikatakan sering kali mengunjungi perpustakaan awam untuk membaca dan meneliti berita kewangan di dalam akhbar.

Disebabkan itu Degerman mahir dalam dunia pelaburan. Dia banyak menghabiskan masanya di perpustakaan awam sambil membaca akhbar kewangan tempatan bagi mengetahui kedudukan terkini pasaran saham dunia.

Curt Degerman yang dipandang hina kerana mengutip sampah rupa-rupanya seorang jutawan.

Sewaktu zaman kanak-kanak, Degerman disifatkan saudara-maranya sebagai seorang yang genius. Malangnya, akibat krisis peribadi yang dialaminya menyebabkan lelaki tersebut terpaksa menyara hidupnya dengan mengutip sampah.

Pada musim luruh 2008, Curt Degerman, disahkan meninggal dunia akibat serangan penyakit jantung. Ekoran kematiannya, berlaku situasi perebutan harta di kalangan saudara-maranya yang masing-masing bertengkar kerana mahu mewarisi harta si jutawan sampah tersebut.

Dipercayai, Degerman telah menyimpan sejumlah wang bernilai USD$1.1 juta (RM3.58 juta) dalam satu akaun bank di Switzerland.

Selain itu, dia turut menyimpan jongkong emas yang bernilai kira-kira USD$378,000 (RM1.2 juta) dan sejumlah wang USD$1,358 (RM4,428) di rumahnya.

Hmm.. biasalah. Bila dah mati dan tahu banyak harta, barulah ramai sanak saudara tampil semata-mata mahu menuntut kekayaannya. Begitulah perangai keji manusia.