GAMBAR fail: Abd Razak Aid

Oleh: CHAMIL WARIYA

Apabila Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muyhiddin Yassin pada 5 Jun 2020 tidak menyediakan apa-apa insentif khas kepada industri media, sebilangan pengusaha, aktivis dan NGO media meluahkan rasa kecewa mereka.

Kekecewaan itu bukan tidak berasas. Hal ini kerana industri media juga terkesan akibat berlakunya kemelut ekonomi berikutan penularan COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Justeru, mereka mencadangkan kerajaan supaya memperkenalkan pakej rangsangan khas untuk membantu industri media yang tercungap-cungap meneruskan kelangsungan, sama seperti yang telah diberi kepada industri-industri tertentu yang lain.

Ada menteri yang bertanggungjawab mengawal selia media menjanjikan kesediaanya untuk menimbang permintaan tersebut dengan mengusulkan pakej rancangan khusus untuk media kepada kerajaan.

Tetapi sampai sekarang kerajaan tidak membayangkan sebarang minat untuk menghulurkan pertolongan kepada industri media. Barangkali belum lagi.

Memanglah sedih kerana tatkala estet keempat negara terkapai-kapai untuk beroperasi, dua lagi cabang kuasa negara iaitu eksekutif dan legislatif membisu seribu bahasa.

Seolah-olah ada konspirasi dalam kalangan yang berkuasa untuk membiarkan jagawan estet keempat terus berada pada kedudukan yang lemah dari segi kewangan atas apa juga tujuannya.

Namun kalangan yang risau dengan apa yang berlaku dalam industri media dan dunia kewartawanan khususnya tidak berputus asa. Mereka terus bersuara – kali ini dengan harapan ia akan didengari.

Ini dilakukan oleh Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM), pula.

Semalam NUJM tampil merayu agar kerajaan “dapat merangka program khas membantu dan meringankan beban yang dihadapi oleh petugas industri media dan bekas kakitangan industri ini.”

Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah dipetik sebagai berkata, disebabkan oleh faktor kelembapan industri dan kesan pendemik Covid-19, 3,000 petugas media, sebilangan besarnya wartawan, telah kehilangan kerja sejak 2019.

Dalam situasi itu, NUJ, menurut Farah “mengesa kerajaan agar memberi perhatian kepada cabaran getir yang dihadapi oleh petugas media Malaysia yang kini berdepan cabaran bertugas dalam pandemik Covid-19. Lebih sukar, ada juga bekas kakitangan media yang diberhentikan tanpa sebarang pampasan disebabkan penutupan operasi secara mengejut.”

Beliau menambah: “Sebahagian besar daripada mereka berdepan dengan situasi yang amat mencabar dalam mencari pekerjaan baharu disebabkan keadaan ekonomi yang tidak menentu. Ada yang telah menceburi pelbagai bidang perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun pandemik yang berlarutan sejak 2019 telah memberi kesan besar kepada perniagaan mereka yang baru bertatih di pasaran.”

Sesungguhnya cerita sedih adanya wartawan yang dianggap pekerja ilmu oleh Peter Drucker menjadi pemandu grab dan teksi, penghantar makanan, berniaga di pasar malam, membuka gerai makanan dan sebagainya setelah diberhentikan kerja secara mendadak di negara ini, sudah lumrah sejak akhir-akhir ini.

Demi kelangsungan hidup, mereka tiada pilihan kecuali mencari rezeki dengan kemahiran lain yang ada pada mereka.

Benar ada yang berjaya kembali menjadi wartawan – sepenuh masa atau sambilan – dengan portal-portal berita yang diusahakan oleh rakan-rakan wartawan yang lain tetapi jumlah mereka boleh dibilang dengan jari. Mereka dikira bernasib baik.

Sebahagian besar rakan-rakan yang lain masih terumbang ambing menentukan masa depan selepas tidak lagi bekerja. Kalau isteri masih bekerja, mereka dikira beruntung.

Justeru, rayuan NUJM kepada kerajaan itu tentulah disambut baik oleh kalangan ingin dibela itu.

Tetapi mereka tahu, sama ada kerajaan akan mendengar keluhan NUJM atau tidak, sukar untuk dipastikan buat waktu ini.

Tetapi jauh di dalam hati mereka tahu bahawa bantuan khusus untuk 3,000 petugas media yang telah diberhentikan kerja seperti yang dicadangkan itu rasanya mungkin tidak akan dapat dilayan.

Hal ini kerana keprihatinan kerajaan bukan sahaja terhadap petugas media tetapi puluhan ribu penganggur lain yang berpunca daripada pandemik Covid-19 tentunya.

Sebaliknya, apa-apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan adalah untuk meminta 3,000 petugas media yang berstatus penganggur itu, supaya mendapatkan pelbagai bantuan yang ditawarkan oleh kerajaan melalui skim-skim yang sedia ada.

Antaranya seperti pengeluaran caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau bantuan mencari kerja setelah diberhentikan yang ditawarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO.

Bagaimanapun, dari segi membantu industri media, kerajaan tidak boleh lepas tangan atau lari daripada tanggungjawabnya. Bantuan kepada industri media boleh diberi dalam dua bentuk secara langsung atau tidak langsung.

Benar, pemberian wang tunai secara langsung kepada organisasi media mungkin bukan jalan terbaik untuk menolong industri tersebut.

Bantuan serupa itu juga mungkin tidak disenangi oleh pengusaha media, terutama kalau bantuan tersebut bersifat telunjuk lurus kelingking berkait.

Cara yang paling lojik adalah untuk pihak kerajaan membeli ruang iklan dalam pelbagai media di alam nyata dan di alam maya untuk mempromosi produk dan perkhidmatan kerajaan.

Dengan kata lain, pihak kerajaan hendaklah menyediakan peruntukan perbelanjaan pengiklanan yang agak besar bagi diagih-agihkan menurut formula tertentu kepada organisasi media.

Keutamaan hendaklah diberikan kepada media yang menjalankan peranan untuk melahirkan masyarakat bermaklumat atau an informed society iaitu memaklumatkan rakyat dengan perkembangan-perkembangan semasa bagi diketahui oleh warga untuk membantu mereka membuat keputusan yang betul dalam kehidupan bernegara.

Apa-apa juga bantuan yang hendaklah dihulurkan, ia hendaklah dilakukan tanpa syarat supaya kebebasan media itu sendiri kekal terjamin.

Dan pada waktu yang sama media hendaklah dibenarkan memainkan peranan sebagai jagawan estet keempat untuk mengimbangi dan memeriksa tiga kuasa negara yang lain, melalui pelbagai bentuk kewartawanan penyiasatan yang mendedahkan salah guna kuasa kalangan yang berkuasa.

Atau menerusi laporan-laporan yang kritikal terhadap dasar dan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang dilihat tersasar atau menyeleweng daripada matlamat sewaktu dasar-dasar itu diperkenalkan.

Dengan kata lain, apa-apa juga bantuan yang diberikan hendaklah tidak mengikat media untuk mengikut telunjuk kerajaan.

Kerajaan yang mengiktiraf peranan media sebagai pelindung dan penyubur demokrasi tidak akan mengongkong media untuk berada di bawah pengaruhnya.

Berbuat demikian hanya akan merugikan kerajaan dan negara itu sendiri akhir-akhirnya. Media yang tidak menjalankan tanggungjawabnya dalam erti kata yang sebenarnya akan membawa kepada kemusnahan dari segi jangka panjang.

Justeru, media yang mendapat bantuan kerajaan baik dalam bentuk pengiklanan, penajaan halaman dan sisipan atau pelbagai insentif tertentu cukai yang lain, tidak patut berasa terhutang budi, lalu hanya menyiarkan laporan-laporan yang bertujuan untuk memuja dan memuji tuan-tuan politik yang berkuasa.

Jika ada yang berbuat demikian, maka etos media itu akan dicalar dan mesej yang ingin disampaikan sukar untuk dipercayai oleh khalayaknya.

Kena diingat bahawa apa juga bentuk bantuan yang bakal disalurkan oleh kerajaan kepada media sumbernya adalah dari wang pembayar cukai, bukan wang peribadi pemimpin yang diamanahkan untuk memimpin negara.

Sebagai pemegang amanah pengurusan sumber-sumber negara itu hendaklah dibuat secara telus dan bertanggungjawab, selain memastikan setiap sektor ekonomi, termasuk industri media menikmati manfaatnya sewaktu kita mengharungi detik-detik sukar dan mencabar ini.