Jambatan Pulau Pinang sepanjang 13.5 kilometer merupakan salah satu mercu tanda negeri Pulau Pinang. Jambatan ini menghubungkan tanah besar di Seberang Perai ke Bayan Lepas. Pembinaan jambatan ini bermula pada tahun 1982 dan siap pada tahun 1985.
Di sebalik mercu tanda jambatan dikenali, dikatakan jambatan ini turut dikaitkan dengan 1001 kisah misteri. Apatah lagi pelbagai kes kemalangan yang meragut nyawa dan bunuh diri kerap berlaku di sini.

Antara kisah yang sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan ialah sumpahan tiang jambatan Pulau Pinang.
Di kalangan kaki pancing khususnya peminat ikan laut, sukar untuk menolak pelawaan sekiranya diajak memancing di bawah jambatan ini yang menjadi lubuk ikan kerapu, siakap dan alu-alu. Lokasi yang strategik sebegitu boleh diibaratkan syurga bagi orang yang gila memancing.
Namun, bagi sesetengah kaki pancing yang pernah mengalami kejadian pelik ketika memancing di bawah jambatan Pulau Pinang, lokasi tersebut telah menyebabkan trauma kepada mereka. Pelbagai perkara pelik yang sukar diterima dek akal sering berlaku di salah satu tiang konkrit yang merupakan antara struktur jambatan terpanjang di Asia itu.

Antara kisah yang sering diperkatakan ialah mengenai tiang ke 52. Ada juga yang mengatakan sumpahan tiang berlaku di tiang ke 56 dan 82. Untuk makluman, tiang- tiang di jambatan itu ditandakan dengan nombor.
Terdapat kisah seakan urband legend tentang jambatan Pulau Pinang ini yang diceritakan sejak dahulu. Dikatakan semasa awal pembinaannya, banyak masalah berlaku. Kononnya, raja jin yang memerintah Selat Melaka terganggu dengan pembinaan jambatan ini.
Lalu, seorang pawang diraja dipanggil untuk membantu. Satu perjanjian dibuat dan ritual pemujaan buaya putih milik raja jin dilaksanakan. Perjanjian itu meminta korban manusia setiap bulan purnama. Sebab itu dikatakan banyak kemalangan berlaku di sini.
Selain itu, dikatakan ketika pembinaan, ramai pekerja yang terkorban. Ada pula cerita kononnya kepala manusia turut ditanam dalam tiang-tiang jambatan ini.