Menurut Pakar Biokimia di Sant Pholl Rams Medical Centre, Dr. William Frey, yang mengkaji selama 15 tahun tentang air mata mengatakan, menangis bermanfaat kepada psikologi, fisiologi dan spiritual. Berikut adalah hasil kajiannya yang bercerita tentang perlunya manusia menangis.

Air mata membantu manusia melihat

Fungsi asas air mata adalah untuk membantu manusia melihat dengan lebih jelas. Hakikatnya air mata bukan sekadar pelincir kepada biji mata dan kelopak mata, ia juga untuk menghalang kekeringan pada mata. Tanpa pelincir tidak ada mata yang boleh melihat.

Air mata membunuh bakteria

Tidak perlu cecair peluntur atau pembasmi kuman. Bertuah kerana manusia punya air mata! Pada air mata ada anti bakteria dan anti virus semula jadi yang bekerja untuk manusia menentang kuman yang masuk ke dalam mata dari persekitaran. Air mata mengandungi lysozyme yang boleh membunuh bakteria 90-95 peratus dalam masa lima hingga sepuluh minit.

Air mata menghanyutkan toksik bersamanya

Hasil kajian yang dilakukan di dapati, air mata emosi yang mengalir kerana kesedihan dan tekanan mengandungi banyak toksik berbanding air mata yang disebabkan oleh gangguan benda asing misalnya ketika mengupas bawang. Adakah air mata itu sebenarnya toksik?

Tidak! Air mata sebenarnya yang menyingkirkan toksik dari badan yang terhasil kerana stress. Ia adalah umpama terapi semula jadi atau sesi urutan untuk mengeluarkan toksik tetapi dengan kos yang paling murah.

Menangis boleh menaikkan mod

Anda tahu berapa tahap Mangan (Manganese) di dalam badan anda? Tidak! Begitu juga saya tidak tahu berapa jumlah mangan yang ada di dalam badan. Tetapi, bertuahlah kalau jumlahnya adalah rendah kerana terlalu terdedah kepada mangan boleh menyebabkan kebimbangan, gemuruh, gugup, cepat marah, keletihan, agresif, gangguan emosi dan semua perasan gembira akan lenyap.

Dengan menangis boleh menurunkan tahap manganese di dalam badan. Halnya sama seperti membawa keluar toksin dari dalam badan. Air mata mengandungi 24 peratus albumin protein yang boleh menjadi pengangkut kepada molekul yang lebih kecil. Itulah yang dilakukan oleh air mata ketika menangis kerana sedih.

Menangis boleh mengurangkan stress

Air mata adalah sama seperti peluh yang keluar semasa bersenam, ia membuang sebahagian bahan kimia yang dihasilkan oleh badan kerana stres. Hormon yang terlebih dikeluarkan seperti endorphin leucine-enkaphalin dan prolactin kerana kelenjar pituitari terganggu telah memberi kesan kepada mod dan mengawal stress. Menangis ternyata dapat menyingkirkan bahan kimia yang berlebihan dihasilkan oleh badan.

Air mata mengukuhkan hubungan

Menangis bukan saja baik untuk kesihatan tetapi juga dapat mengeratkan hubungan. Apabila melihat orang lain menangis secara tidak  langsung kita akan merasa simpati dan cuba untuk membantu. Walaupun tidak mampu menghilangkan masalah tetapi sekadar menjadi pendengar pun sudah cukup meringankan beban. Air mata membantu berbicara dan mengeratkan hubungan.

Air mata membebaskan perasaan

Sehebat mana dugaan yang dilalui, malang silih berganti dan air mata tidak pernah kering untuk menangisi kesedihan hati.  Namun air mata adalah pilihan yang terbaik untuk meluahkan perasaan.

Kadang-kadang perasaan itu bersarang di dalam sistem limbik di dalam otak. Dan, pada ketika yang lainnya ia terbuku di dalam hati tidak terluah. Menangislah kerana ia mampu melegakan emosi. Lepaskan semuanya kerana ia baik untuk sistem saraf dan jantung.