Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc

KUALA LUMPUR – Seorang bekas Pengerusi Mara Incorporataed (Mara Inc.) bergelar ‘Datuk’ akan didakwa dengan 22 pertuduhan menerima rasuah RM33.45 juta berkaitan hasil pembelian hartanah di Australia oleh agensi tersebut.

Individu tersebut yang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Rasuah Kuala Lumpur, Jumaat ini

Melalui satu kenyataan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan perkara itu dan memaklumkan ‘Datuk’ tersebut telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM, tengah hari tadi.

“Pendakwaan adalah di bawah Seksyen 16 (a), 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan Seksyen 2(4) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2010.

“Datuk berusia 65 tahun dikatakan telah menerima rasuah sebanyak RM33.45 juta hasil pembelian hartanah di Australia oleh Mara Inc,” kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Siasatan SPRM berhubung skandal rasuah itu bermula setelah pendedahan dibuat portal The Sydney Morning Herald.

Portal itu melaporkan seorang individu rakyat Malaysia yang bermastautin di Australia telah didakwa atas tuduhan merasuah seorang pegawai warga asing dan empat lagi tuduhan akaun palsu berkaitan penjualan blok penginapan pelajar Dudley International House di Melbourne kepada Mara Inc. – UtusanTV