Tommy Thomas cipta watak khayalan dalam bukunya – Peguam

Dari Penulis

KUALA LUMPUR – Selepas buku tulisan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas menimbulkan kontroversi dengan pelbagai dakwaan peristiwa yang berlaku di dalam pemerintahan kerajaan ketika beliau masih bertugas, seorang lagi peguam mendakwa buku dianggap ‘kisah dongeng’ yang menyalahi aspek perundangan.

Peguam, Rosli Dahlan mendakwa, buku bertajuk My Story : Justice in the Wilderness itu mengandungi pelbagai watak fiksyen yang merujuk kepada tulisan mengenai persaingan merebut jawatan Peguam Negara.

Rosli berkata beliau juga tidak percaya nama `Roslan Dahlan’ dalam buku itu yang dipercayai merujuk kepada dirinya, yang kononnya dinamakan sebagai calon Peguam Negara, sebaik Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.

Thomas menerusi buku itu mendakwa, Roslan adalah calon Peguam Negara yang diusulkan presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beliau mencipta watak khayalan sebagai pesaing jawatan Peguam Negara.

”Itu cubaan beliau untuk menggambarkan dirinya lebih hebat sedangkan persaingan itu tidak wujud. Beliau hanya bersaing dengan bayang-bayang,” katanya kepada portal Getaran.my.

Rosli ketika dihubungi portal tersebut turut menafikan pernah bertemu Muhyiddin atau berminat untuk menyandang jawatan itu.

”Saya tidak pernah mengenali individu bernama Roslan ini dan saya juga tidak tahu jika Muhyiddin kenal (atau tidak) lelaki berkenaan.

”Jika benar nama terbabit merujuk kepada saya, jelas ia hanyalah satu dongeng kerana saya tidak pernah berminat atau bercakap dengan Muhyiddin berhubung perkara itu,” tegasnya.

BERITA BERKAITAN:Fitnah, Najib tuntut Tommy Thomas mohon maaf, ganti rugi RM10 juta

Rosli mendakwa penerbitan buku berkenaan juga mencabuli peruntukan perundangan, khususnya Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dan Kanun Acara Jenayah 1976.

”Tommy melanggar sumpah jawatannya untuk menyimpan rahsia, sekali gus bertentangan dengan peruntukan di bawah Seksyen 8 OSA,” katanya.

Menurut Rosli, Tommy turut melakukan kesalahan di bawah Seksyen 203A Kanun Acara Jenayah kerana mendedahkan maklumat sulit yang terkandung di bawah bidang tugasnya semasa menyandang jawatan Peguam Negara.

”Lebih memeranjatkan lagi ialah apabila beliau sendiri mengaku terbabit dalam melobi jawatan sebagai Peguam Negara sejak PRU13, selain menjalin pakatan bersama beberapa pemimpin DAP dan PH berhubung perkara itu.

”Ia menimbulkan persoalan berhubung kemungkinan wujud aspek conflict of interest apabila membuat keputusan menghentikan pendakwaan dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan kes rasuah bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng,” katanya kepada portal tersebut. – AGENSI


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemasyhuran Tunku Nadzaruddin tidak sah, lepaskan sendiri jawatan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

ISTIADAT pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 di sebuah hotel di Alor Gajah,...

More Articles Like This