PETALING JAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menyatakan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin tersilap fakta mengenai had umur minimum keahlian parti itu selepas pendaftaran parti itu ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Muda berkata parti itu tidak pernah mengehadkan umur ahli minimum 16 tahun dalam Perlembagaannya, sebagaimana yang didakwa Hamzah tetapi adalah 18 tahun.

“Kami ingin menjelaskan beberapa kesilapan fakta yang dibuat menteri (Hamzah) berkaitan isu pendaftaran kami.

“Berkaitan umur minimum 16 tahun untuk menjadi ahli parti Muda, ini tidak betul, perlembagaan kami yang telah dikemas kini dan disemak oleh JPPM, berkali-kali menetapkan umur minimum ahli Muda ialah 18 tahun,” kata parti itu dalam satu kenyataan seperti yang dipetik di laman web FMT.

Mengenai dakwaan parti itu tidak menetapkan sebarang had umur maksimum dalam perlembagaannya yang turut dijadikan alasan penolakan, Muda berkata, perkara had umur juga tidak dinyatakan oleh mana-mana parti lain.

Katanya, Muda adalah parti untuk semua tanpa mengira kaum atau umur dan tidak sepatutnya meletakkan had umur maksimum.

“Tidak ada mana-mana parti politik dalam Malaysia yang menetapkan umur maksimum bagi ahli parti,” kata parti itu.

Semalam, JPPM menolak permohonan permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Hamzah dalam kenyataan berkata, permohonan berkenaan tidak teratur selaras dengan peruntukan Jadual 1 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Hamzah berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan usia mengundi seawal 18 tahun tetapi Muda Malaysia menetapkan umur ahli minimum 16 tahun.

Hamzah turut menegur Muda kerana tiada had usia maksimum ditetapkan.

Dalam pada itu, Muda berkata alasan-alasan yang dibuat Hamzah menguatkan lagi hujah parti itu di mahkamah.

“Sekali lagi kami ingin mengingatkan bahawa proses ini mengambil masa berbulan-bulan dan masalah teknikal seperti penyusunan semula ayat, syarat,” katanya. – UtusanTV