Cuba bayangkan, anda nampak orang muntah. Sanggupkah anda untuk bersihkan muntah tersebut jika orang itu adalah orang asing yang tidak anda kenali? Dah tentu ramai yang kata tidak. Terbayang muntah pun sudah meloyakan, apatah lagi hendak membersihkan muntah orang yang tidak dikenali.

Mungkin ramai tidak tahu, di Eropah ada satu pekerjaan yang tugasnya hanya memungut muntah. Dengar macam menjijikkan tetapi ia salah satu peluang pekerjaan yang ditawarkan di sana. Kebanyakan yang menawarkan pekerjaan ini adalah taman tema.

Sebabnya, taman-taman tema di luar negara ini sering menghadapi masalah pengunjung yang sering muntah, apatah lagi selepas naik pelbagai permainan di situ.

Taman tema sering berdepan masalah pengunjung yang muntah selepas naik permainan.

Namun, beberapa pengurus taman permainan di England memberitahu, tidak ramai yang mahu mengisi jawatan tersebut. Yalah, hendak membersihkan sisa muntahan yang jijik dan memualkan, tidak ramai yang sanggup melakukannya.

Kalau ikutkan, kriteria nak isi jawatan sebagai pemungut sampah tu mudah saja. Tak perlu ada sijil kemahiran. Tak kisah lelaki atau wanita. Kerjanya pula mudah, hanya bersihkan sisa muntah pengunjung. Itu saja. Cuma syaratnya, mesti ‘kebal’ dengan sisa buangan yang keluar dari mulut manusia itu.

Walaupun pekerjaan ini dianggap remeh dan menjijikkan, namun perlu diingat ia sebenarnya memainkan peranan penting terutama sekali mengawal kebersihan taman tema tersebut. Tanpa pemungut muntah, taman tema akan berada dalam keadaan kotor dengan sisa buangan yang menjijikkan itu.

Ada juga yang sanggup melakukan kerja ini sebab mereka akan dapat menaiki permainan di taman tema itu secara percuma. Tetapi, walau dapat naik permainan percuma sekalipun, tidak ramai yang sanggup melakukan kerja yang dianggap pelik ini.

Sebelum dunia dilanda Covid-19, jumlah pengunjung ke taman tema semakin lama kian meningkat. Mengikut satu kajian di luar negara, secara purata hampir 700 orang akan muntah dalam sebuah taman tema dalam waktu setahun. Lebih kurang 150 liter sisa muntah dipungut dalam masa setahun.

Disebabkan kekurangan pekerja pemungut muntah ini, sebilangan pengurus taman tema di England terpaksa mengawal pengunjung daripada makan terlalu banyak sebelum menaiki roller coster, sebab selalunya permainan itu yang paling mudah membuatkan orang muntah. Sekurang-kurangnya dengan cara itu, mereka dapat mengurangkan sisa muntah di dalam taman tema tersebut.