pkpd lagi

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di dua kawasan di Hulu Terengganu, Terengganu dan dua kawasan di Kuala Kangsar, Perak mulai esok sehingga 17 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata PKPD tersebut akan dikuatkuasakan di Felda Tersat dan tapak pembinaan Kuarters TNB Kuala Berang, Hulu Terengganu serta Felda Lasah dan Kampung Besi Api di Kuala Kangsar.

Selepas mengadakan beberapa ujian saringan di kawasan-kawasan tersebut, atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM), kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD.

Menurut laman web Kementerian Kesihatan, PKPD merupakan pelaksanaan kawalan yang lebih ketat dengan laluan keluar-masuk dikawal oleh anggota polis di sesuatu kawasan khusus yang terlibat.

Ismail berkata, PKPD di Felda Tersat membabitkan 583 penduduk di 198 rumah.

“Sehingga 1 Februari lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan 420 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 45 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengenai PKPD di tapak pembinaan Kuarters TNB Kuala Berang, Ismail Sabri memaklumkan KKM sudah melaksanakan 386 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 62 kes positif COVID-19 direkodkan.

“KKM hari ini turut melaporkan peningkatan kes COVID-19 di Felda Lasah dan Kampung Besi Api , Kuala Kangsar, Perak.

“Sehingga 31 Januari lalu, KKM melaksanakan 71 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 35 kes positif COVID-19 direkodkan di kedua-dua lokaliti ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD di kesemua lokaliti terbabit untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar serta mengawal jangkitan dalam komuniti dan seterusnya memutuskan rantaian COVID-19. – UtusanTV