Vaksin Oxford-AstraZeneca mampu menyumbang kepada penurunan jangkitan Covid-19.

LONDON – Satu dos vaksin Oxford-AstraZeneca mampu menyumbang kepada penurunan mendadak jangkitan Covid-19 sehingga 67 peratus, kata saintis.

Lapor The Guardian, berdasarkan satu kajian, vaksin Oxford-AstraZeneca itu mampu melindungi individu daripada Covid-19 sekurang-kurangnya tiga bulan selain mengurangkan penyebaran virus kepada dua pertiga.

Analisis data terbaharu daripada tiga ujian mendapati, suntikan pertama vaksin itu secara purata memberi perlindungan jangkitan sebanyak 76 peratus dari tiga minggu hingga 90 hari serta mengurangkan penyebaran sehingga 67 peratus.

Walaupun kajian itu masih pada peringkat awal dan sedang disemak The Lancet, namun jika keputusannya kekal ia mampu memberi jaminan kepada pegawai kesihatan bahawa pemberian dos pertama vaksin Oxford-AstraZeneca kepada golongan berisiko merupakan strategi yang perlu dipertimbangkan.

Data terkini vaksin Oxford-AstraZeneca diambil dari ujian klinikal  di United Kingdom (UK), Brazil dan Afrika Selatan yang diadakan sehingga 7 Disember menunjukkan, vaksin itu akan lebih berkesan jika pemberian dos kedua ditangguhkan.

Penyelidik yang menjalankan ujian itu mendapati, tiada bukti tahap perlindungan sehingga 76 peratus berkurangan antara tiga minggu hingga tiga bulan selepas dos pertama diberikan.

Namun mereka merumuskan, menangguhkan dos kedua sekurang-kurangnya tiga bulan meningkatkan perlindungan sehingga purata 82 peratus.

Ini berbeza dengan kadar 62 peratus perlindungan pada peringkat awal ujian apabila sukarelawan diberikan suntikan selang empat minggu.

Kajian itu juga mengandaikan keberkesanan vaksin Oxford-AstraZeneca  meningkat kira-kira 55 kepada 82.4 peratus peratus selepas dos kedua diberikan dalam tempoh tiga bulan setelah dos pertama.

Ketua penyiasat ujian dan penulis bersama kajian Oxford, Prof. Andrew Pollard berkata, keputusan kajian itu memberi keyakinan dan pembuktian penting data sementara yang mana UK dan pengeluar ubatan lain untuk vaksin itu.

Kesan serupa juga dilihat pada vaksin selesema dan Ebola yang lebih berkesan jika pemberian dua dos dijarakkan.

“Ini berita menggembirakan dan lebih dari apa yang dijangka daripada apa yang kita tahu tentang vaksin lain,” kata ahli virologi Universiti Bristol, David Matthews.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada kajian itu, penyelidik yang mendapatkan keputusan ujian calitan mingguan ke atas sukarelawan di UK mendapati, kes positif Covid-19 menurun antara 49 hingga 78 peratus selepas mereka diberikan dos pertama vaksin.

Ini memberi harapan vaksin itu mampu mengurangkan penularan penyakit serta mencegah kematian.