RUPA-RUPANYA, kalau kita tidak tahu buat apa-apa kecuali makan dan minum, kita juga akan ditawarkan kerja.

Itulah yang sedang dinikmati oleh Shoji Morimoto, lelaki berusia 37 tahun yang tinggal di Tokyo, Jepun.

Pada Jun 2018, Shoji mengiklankan diri di akaun Twitternya sebagai orang yang tidak mempunyai sebarang kemahiran kecuali `makan, minum dan memberi maklum balas yang biasa-biasa saja. Tak lebih daripada itu.’

“Saya menawarkan diri saya untuk disewa, sebagai orang yang tidak melakukan apa-apa. Adakah anda berasa sukar masuk ke kedai seorang diri? Atau tidak cukup seorang pemain dalam permainan video? Perlukan seseorang untuk menggantikan tempat anda? Saya tidak ada kemahiran untuk melakukan apa-apa kecuali perkara-perkara yang mudah saja.”

Tanpa disangka, sejak itu Shoji telah menerima pelbagai tawaran berdasarkan `kebolehannya’ itu. Jumlah itu terus meningkat dan kini menjangkau kepada lebih 3,000 tawaran!

Asalnya Shoji menawarkan khidmat secara percuma saja, tetapi kerana tempahan yang diterima semakin meningkat, dia mula mengenakan bayaran. Terkini, upah yang dikenakannya mencecah kepada 10,000 yen (RM380). Setiap hari Shoji perlu menemani tiga atau empat orang pelanggan.

Apakah kerja yang perlu Shoji lakukan?

Mudah saja. Antaranya, temani pelanggannya pergi makan malam, memfailkan perceraian, berpindah rumah dan menggantikan pemain yang tidak dapat menyertai permainan video.

“Saya akan lakukan apa yang diminta. Saya jawab apa yang mereka tanya, dengar apa yang mereka cakap dan mengangguk bila perlu. Mulanya memang rasa malu tetapi lama-kelamaan saya dapat membiasaka diri,” jelas Shoji sewaktu ditemubual akhbar The Mainichi.

Menariknya, bermula sebagai orang yang rasa dirinya serba kekurangan, kerjaya yang biasa-biasa saja itu berubah kepada luar biasa. Jangan terkejut, Shoji pernah dibayar sekadar untuk menemani pelanggannya menaiki helikopter ke Taman Tema Disneyland dan mendengar pengakuan seorang pembohong kepada teman yang dicuranginya.

Selain itu, Shoji dibayar upah untuk pergi ke hospital menemani orang yang cuba membunuh diri dan mendengar keluhan pekerja kesihatan yang sudah letih bergelut dengan tugasnya.

Paling kelakar, ada yang mengupahnya untuk menjadi teman menangkap rama-rama dan mengikut seorang wanita pergi ke kedai `hiburan orang dewasa’.

Kini Shoji mempunyai lebih 270,000 orang pengikut di akaun Twitter. Ringkasnya, Shoji dibayar upah bagi menemani pelanggannya yang kesunyian, bosan dan perlukan teman berbual.

“Apabila ada seseorang yang mahu melakukan sesuatu, bagi saya perkara terbaik yang perlu dilakukan ialah dengan berada di samping mereka agar mereka berasa lebih tenang, yakin dan mempunyai tempat untuk berkongsi perasaan,” kata Shoji.

Pada musim Covid-19 ini, yang menyebabkan ramai hilang pekerjaan dan hidup tertekan, ada tak sesiapa di kalangan anda yang ingin menawarkan diri jadi seperti Shoji?