ANALISIS

Kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO terbuka untuk mempertandingkan semua jawatan dalam parti itu termasuk jawatan Presiden yang kini disandangnya boleh dianggap berita baik untuk seluruh kepemimpinan dan ahli parti terbesar orang Melayu itu.

Seperti mana dikatakan oleh Presiden UMNO itu, beliau mahu parti tersebut terus mengamalkan demokrasi dalam memilih kepemimpinan.

Kenyataan Ahmad Zahid dan sikap terbuka beliau harus dipuji kerana ia memberi peluang kepada ahli-ahli UMNO untuk menentukan barisan terbaik bagi membuat persiapan menghadapi ‘pertarungan hidup mati’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Barisan itu harus terdiri daripada mereka yang benar-benar mampu memulihkan imej parti tersebut dalam kalangan rakyat khususnya orang Melayu. Barisan ‘perang’ ini tidak boleh direncatkan dengan mana-mana pemimpin yang ada ‘masalah’ atau ‘parut’ dan barisan tersebut harus diwakili oleh majoriti muka-muka yang berkredibiliti, berkarisma dan paling penting mempunyai integriti.

Sememangnya PRU-15 amat penting untuk UMNO ‘yang diragut’ kekuasaan ketika PRU-14 selepas 61 tahun berada di tampuk kekuasaan. Ahmad Zahid menaruh harapan UMNO akan bangkit semula dalam pilihan raya ini.

Kata Ahmad Zahid, ‘’UMNO dan Barisan Nasional bersaing dengan ideologi dengan hujah dan fakta. Dengan perkhidmatan. Demi apa yang terbaiki kepada rakyat untuk rakyat. Justeru tidak perlu khuatir dengan kebangkitan sepenuhnya UMNO dan BN nanti. Tidak perlu takut dengan bayang-bayang sendiri.’’

Namun untuk bangkit semula dan demi mencapai cita-cita kembali ke tampuk kekuasaan negara, ia bukanlah mudah. UMNO perlu berubah dan diubah sama ada dari segi kepemimpinan mahukan pun sikap ahlinya.

Dan sekarang Ahmad Zahid sudah membuka jalan seluas-luasnya kepada ahli UMNO untuk melakukan langkah itu. Mereka perlu tidak boleh dibuai dengan mimpi-mimpi indah dan berpegang kepada keyakinan yang tidak kukuh apabila begitu yakin UMNO akan kembali berkuasa berikutan pelbagai kepincangan yang dianggap berlaku dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Dalam usaha mewujudkan satu barisan kepemimpinan yang mantap, perhitungan atau faktor yang wajib diambil kira ialah penerimaan rakyat khususnya orang Melayu terhadap kepemimpinan UMNO.

Sejarah parti itu dalam pilihan raya sudah membuktikan bahawa sekadar bergantung kepada ahli-ahli UMNO yang direkodkan berjumlah lebih 3 juta orang, belum mencukupi.

Ia sudah dibuktikan dalam PRU-14 lalu. Banyak kawasan Parlimen mahupun DUN yang sebelum ini menjadi ‘kubu” UMNO akhirnya roboh dan dikuasai oleh pembangkang. Keadaan itu harus memberi pengajaran kepada ahli-ahli UMNO dengan memberi barisan kepemimpinan terbaik sahaja yang tidak ada apa-apa isu boleh memastikan kemenangan parti tersebut.

Oleh itu kalau betul mereka mahu melihat UMNO bangkit semula, kalau benar tidak mahu parti itu diperkotak-katikkan dan tidak rela parti itu dilayan bagaikan ‘ melukut di tepi gantang’ – tiada cara lain – selain memastikan kemenangan cemerlang parti tersebut dalam PRU-15.

Justeru pemilihan barisan kepemimpinan bermula dari peringkat bahagian hinggalah pucuk pimpinan amat penting dan paling kritikal untuk UMNO bangkit semula.

Dalam membuat perhitungan itu, mereka harus menolak sebarang sentimen kepada mana-mana pemimpin tidak kira setinggi manapun jawatan yang disandangnya atau sehebat manapun popularitinya.

Kalaulah mereka merasakan menyokong atau memilih pemimpin itu boleh mendatangkan masalah kepada usaha UMNO untuk menang, maka mereka perlu menolak pemimpin tersebut, menolak bukannya membenci tetapi demi meletakkan perjuangan parti mengatasi kepentingan individu.

Lagipun Ahmad Zahid pun menyatakan, beliau dilantik sebagai Presiden di bawah proses demokrasi pemilihan UMNO dan mengikut Perlembagaan parti, ia harus dipertahankan oleh semua akar umbi tersebut. Jadi mereka peluang menggunakan proses tersebut dengan sebaik-baiknya.

Dan paling penting memahami kalaupun rakyat mahu menyokong UMNO, mereka akan menilai setiap pemimpin yang itu dari segala segi termasuklah integriti. Kalaulah pemimpin itu ada ‘parut’ sudah pasti ia tidak baik untuk kelancaran usaha UMNO untuk bangkit semula. Fikir-fikirkanlah