Anwar Ibrahim dan Amirudin Shari ketika menyertai program bual bicara mengenai COVID-19 di laman Facebook Anwar Ibrahim hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan kerajaan menaikkan denda tambahan terhadap pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan COVID-19 kerana ia akan menambah beban rakyat.

Ketua Pembangkang itu berkata, langkah tersebut akan membebankan rakyat yang pendapatan mereka telah terjejas teruk akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di samping sukar menguatkuasakan peraturan itu dengan adil.

Beliau menggangap tindakan kerajaan kelihatan tidak adil kerana terdapat pemimpin yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) tidak dikenakan tindakan tetapi sebaliknya ada penduduk pedalaman di Sabah yang menaiki bas dikenakan denda.

“Seperti kes orang sewa bas di Sabah yang mana orang nak (keluar rumah) cari makan kena denda.., manalah orang boleh bayar..nak ugut orang ramai yang miskin dengan denda RM1,000 dan denda baru RM1,500 atau RM2,000.. itu semua bawa bencana baru kepada rakyat ,” katanya.

Anwar dipercayai merujuk kepada kes sekumpulan penduduk pedalaman di Tenom, Sabah yang menaiki bas untuk keluar membeli barang keperluan dikenakan denda RM1,000 kerana bas yang mereka naiki melanggar SOP ketika PKP.

Beliau berkata demikian dalam program Bicara COVID-19 di laman Facebook miliknya hari ini yang membicarakan mengenai langkah-langkah diambil kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang di bawah pemerintahan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan langkah kerajaan untuk memperketatkan SOP tetapi bukan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada rakyat.

Anwar juga meminta kerajaan segera membenarkan semua sektor ekonomi terutama peniaga-peniaga kecil beroperasi semula kerana kehidupan mereka terjejas teruk akibat pelaksanaan PKP.

Katanya, sebarang langkah yang diambil oleh kerajaan seharusnya memperseimbangkan antara tujuan menjaga kesihatan rakyat dan memastikan survival kehidupan mereka.

Dalam perbincangan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula mendesak agar kerajaan Persekutuan sentiasa terbuka menerima pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang mengenai kaedah-kaedah pencegahan COVID-19.

Katanya, sebagai contoh, kerajaan seharusnya mempelajari dari pengalaman negara Singapura yang telah memperketatkan kawalan di kawasan perkilangan apabila berlakunya jangkitan COVID-19 di negara itu yang kini berlaku pula di negara ini.

“Selangor mencatatkan kes yang tinggi kerana kita tidak menangani isu penularan di kilang dengan lebih awal dan tidak belajar dari kes di Singapura,” katanya.

Selain Amirudin, pemimpin negeri lain menyertai perbincangan hari ini ialah Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow yang memaklumkan mengenai langkah dan tindakan yang diambil di negeri masing-masing bagi menangani penularan COVID-19. – UtusanTV