BTS merupakan artis yang paling banyak mendapat ciapan tahun lalu diikuti NCT, EXO dan Blackpink.


SEOUL – Malaysia muncul antara penyumbang utama ciapan berkaitan K-pop yang mencatatkan peningkatan rekod baharu sebanyak 6.7 bilion ciapan tahun lalu.

Asia News Network yang memetik Twitter Inc. sebagai berkata, angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 600 juta ciapan berbanding 6.1 bilion tweet berkaitan K-pop pada 2019.

Dedah syarikat media sosial itu, Indonesia berada di tangga pertama merekodkan ciapan berkaitan K-pop terbanyak diikuti Thailand dan Korea Selatan.

Malaysia pula berada di tempat ketujuh.

Malaysia muncul antara penyumbang utama ciapan berkaitan K-pop

Dari sudut ciapan unik pengguna mengenai K-pop, Jepun muncul di tempat pertama diikuti Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia.

Band terkenal, BTS merupakan artis yang paling banyak mendapat ciapan tahun lalu diikuti NCT, EXO dan Black pink.

Enam lagu BTS tercatat dalam senarai 10 lagu  K-pop paling banyak diciapkan dengan DynamiteONBlack Swan dan Life Goes On berada dalam senarai tertinggi.

Twitter turut mengetengahkan penyertaan aktif peminat K-pop dalam perkara berkaitan sosial tahun lalu.

“Penglibatan komuniti Twitter K-pop dalam gerakan #BlackLivesMatter memberi peminat cara lain untuk kekal berhubung dan menzahirkan pandangan mereka dalam isu yang lebih luas dalam masyarakat,” kata Twitter dalam hantaran di blog.

Jun lalu, BTS menzahirkan sokongan terhadap gerakan itu di Twitter dan ciapan tersebut diulang ciap hampir jutaan kali sejak itu.

Seorang peminat BTS berjaya mengumpul sebanyak AS$1 juta (RM4.05 juta) untuk tujuan itu menyamai jumlah sumbangan dibuat kumpulan K-pop tersebut.