PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 disambung lagi bagi mengawal penularan kes COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari hingga ada ketika mencecah angka melebihi 5,000 kes baharu.

Bagaimanapun, di sebalik pelaksanaan PKP yang melaksanakan kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard (SOP) yang agak ketat tetapi kerajaan dijangka ‘berlembut hati’ dengan memungkinkan semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula.

Berikutan pelaksanaan PKP, banyak sektor ekonomi termasuk perniaga-peniaga kecil yang menjalankan perniagaan seperti tukang jahit, gunting rambut, khidmat basuh kereta dan sebagainya tidak dibenarkan beroperasi sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Sektor-sektor ekonomi tersebut terpaksa dibenarkan beroperasi semula kerana kerajaan dimaklumkan oleh persatuan-persatuan perniagaan bahawa PKP2.0 memberi kesan ekonomi yang lebih buruk kepada perniagaan kecil dan industrik kecil dan sederhana (IKS), selepas pelaksanaan PKP pertama Mac tahun lalu.

“Kementerian yang bertanggungjawab dengan perniagaan-perniagaan berkaitan telah memberikan input mereka dan menyatakan banyak perniagaan kecil tidak dapat diteruskan kerana perniagaan yang terlalu teruk terjejas,” kata sumber seperti yang dipetik di TheStar Online.

Kemungkinan kerajaan akan membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi tersebut selari dengan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini yang menyatakan: “Kita tidak mahu rakyat kita mati kerana tak makan.”

Ismail menceritakan bagaimana peniaga gerai makanan kehilangan sumber pendapatan sehingga melebihi 50 peratus kerana kerajaan tidak membenarkan pelanggan makan di kedai, yang sudah tentu kesan buruk lebih terasa bagi perniagaan yang langsung tidak dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun, walaupun kerajaan akan membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi tetapi penguatkuasaan pelaksanaan SOP yang lebih ketat perlu dilakukan bagi mengawal penularan kes yang lebih besar selepas ini.

Menurut sumber, kebanyakan kes jangkitan yang berlaku sekarang disebabkan kelemahan daripada pelaksanaan SOP dalam kalangan rakyat dan Majlis Keselamatan negara sedang menilai semula perkara tersebut. – UtusanTV