KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bakal bermula hujung bulan ini dengan sasaran 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program menerusi tiga fasa itu akan melibatkan sebanyak 80 peratus populasi penduduk negara ini.

Katanya, fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan dan petugas bukan kesihatan.
“Fasa ini amat penting untuk melindungi frontliners kita yang berada di barisan hadapan dalam memerangi pandemik COVID-19. Fasa pertama program imunisasi ini dijadualkan tamat pada bulan April,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung hari ini.
Menurut Muhyiddin, fasa kedua pula melibatkan kumpulan berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 meliputi warga emas dan golongan rentan iaitu yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi.
Jelas beliau, golongan orang kelainan upaya (OKU) turut termasuk di dalam fasa ini dan sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021.
“Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.
“Fasa ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity dan seterusnya mengawal pandemik ini secara menyeluruh,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, untuk memastikan program ini berjalan dengan lancar, teratur serta memudahkan orang ramai, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.
Menurut Muhyiddin, beliau telah mengarahkan pihak berkuasa agar menggunakan pelbagai kemudahan termasuk fasiliti kesihatan awam dan swasta, stadium, pusat konvensyen, dewan orang ramai serta universiti sebagai pusat vaksinasi.
“Peruntukan di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 akan digunakan oleh Kerajaan untuk mengambil alih secara sementara dewan-dewan dan kemudahan-kemudahan yang lain bagi tujuan persediaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan,” ujarnya.
Kata Perdana Menteri, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini adalah program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakan di negara ini.
Justeru, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menggembleng tenaga dan segala sumber yang ada bagi menjayakan program ini.
“Anda semua boleh bersama-sama menghulurkan bantuan sama ada dari aspek perubatan dan bukan perubatan, khususnya aspek pendidikan kesihatan di pusat-pusat vaksinasi bagi menjayakan program ini.
“We are all in this together, and only together can we win. Lindung diri, lindung semua,” jelasnya.

Ujar Perdana Menteri, kerajaan telah berjaya menempah vaksin COVID-19 dengan penghantaran pertama bekalan vaksin ini dijadualkan tiba pada bulan ini.
Katanya, penghantaran pertama vaksin COVID-19 ini melibatkan vaksin keluaran syarikat Pfizer dan BioNTech yang telah menunjukkan kadar keberkesanaan yang tinggi iaitu pada tahap 95 peratus.
“Vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19,” katanya.
Dalam pada itu, kata Muhyiddin, kerajaan mengalu-alukan penyertaan sukarelawan, mahasiswa dan mahasiswi, pemimpin masyarakat, para agamawan, badan bukan kerajaan, Persatuan Bulan Sabit Merah, St. John’s Ambulance, pihak swasta dan rakyat Malaysia keseluruhan.
Tambah beliau, maklumat lanjut mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan termasuklah mengenai tatacara pendaftaran, lokasi pusat pemberian vaksin serta informasi lain yang berkaitan akan dimaklumkan dalam sedikit masa lagi.
“Bagi memastikan program imunisasi ini dilaksanakan dengan teratur, Jemaah Menteri telah bersetuju melantik Khairy Jamaluddin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Beliau akan mengetuai satu Pasukan Pertugas Khas yang menguruskan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan khususnya isu-isu berkaitan logistik dan penyelarasan dengan negeri-negeri dan agensi-agensi Kerajaan.
“Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan untuk terus menumpukan kepada fungsi-fungsi perkhidmatan kesihatan dalam menangani penularan wabak COVID-19 yang masih menunjukkan trend membimbangkan,” katanya.