KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan semua pihak supaya berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Perdana Menteri berkata, kerajaan telah mendapat perkenan selepas Seri Paduka berpuas hati bahawa penularan wabak COVID-19 di negara ini berada di tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

‘’Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

‘’Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh Kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa,’’ katanya dalam perutusan khas.

Muhyiddin berkata, proklamasi Darurat oleh Seri Paduka tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

‘’Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,’’ katanya.

Kata Perdana Menteri, sebagai Ketua Kerajaan, beliau juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

‘’Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak COVID-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan,’’ katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli politik sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,’’ katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan memantau perkembangan kes-kes harian COVID-19 mengikut sektor dan lokaliti serta menilai semula keberkesanan PKP yang dilaksanakan dan dilanjutkan hingga 18 Februari ini.

‘’Apapun tindakan atau langkah seterusnya yang akan diambil oleh kerajaan pastinya berasaskan kepada matlamat untuk mengimbangi keperluan menjamin kelangsungan hidup rakyat dan melindungi nyawa anda semua,’’ katanya.