KUALA LUMPUR – Tan Sri Mohamed Apandi Ali menegaskan, beliau membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku oleh bekas Peguam Negara Tommy Thomas mendapat keadilan.

Apandi yang juga bekas Peguam Negara itu berkata, ia terutamanya untuk pegawai-pegawai perundangan di dalam Jabatan Peguam Negara yang sedang berada dalam dilema.

‘’Mereka mahu membela diri tetapi ini bermaksud mereka terpaksa juga melawan bekas ketua mereka. Apa yang terkandung dalam buku Tommy Thomas menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu-individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara,’’ katanya dalam satu kenyataan selepas membuat laporan di Balai Polis Sentul, hari ini.

Apandi turut menyatakan betapa mulia dan rajin pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara semasa beliau menjadi Peguam Negara kerana tidak kenal penat dan sanggup kerja tanpa mengenal masa.

‘’Walaupun saya dilemparkan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa saya menjadi Peguam Negara, saya tidak akan sekali-kali melepaskan satu pun cerita atau maklumat, walaupun dalam buku-buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara.

‘’Ada kata-kata hikmah yang saya pegang….Knowledge is knowing what to say; Wisdom is knowing when to say it.” – yang bermaksud – “Pengetahuan adalah mengetahui apa yang perlu diperkatakan; Kebijaksanaan adalah mengetahui bila ia perlu diperkatakan,’’ katanya.