Beberapa pihak di dalam UMNO membangkitkan Tommy Thomas tidak menyentuh mengenai keputusannya tidak meneruskan pendakwaan dalam kes berprofil tinggi melibatkan seorang pemimpin kanan DAP dalam memoir beliau.

MEMOIR. Siapa nak tulis, itu hak masing-masing. Tak kiralah siapa dan pangkat.

Misalnya polis, tak semesti bekas Ketua Polis Negara sahaja layak tulis memoir. Sarjan pun boleh.

Bekas Ketua Polis Daerah pun pernah terbitkan memoir beliau. Misalnya, bekas OCPD Baling ketika peristiwa Memali.

Laris juga buku berkenaan. Peringkat antarabangsa pun sama. Bukan hanya Sir Alex Ferguson, pemain bola sepak liga divisyen empat pun ada tulis.

Senang cerita, itu hak bersuara. Tulis lah apa nak tulis, kalau di Malaysia Perlembagaan Persekutuan membenarkan di bawah Perkara 10. Lain negara pun prinsipnya sama.

Cuma, hak datang dengan tanggungjawab. Ia bukan sahaja mengenai tidak boleh menulis perkara dongeng atau sensasi bagi melariskan buku.

Tetapi juga memastikan tiada pelanggaran undang-undang, sivil mahu pun jenayah.

Dalam sudut ini, misalnya jika seseorang pesara polis atau penjawat awam menulis, beliau mempunyai tanggungjawab yang lebih.

Beliau tidak boleh menulis apa yang menjadi kerahsiaan sehingga menjejaskan kepentingan jabatan dan negara.

Dalam prinsip undang-undang Inggeris dipanggil duty of confidence. Lebih kurang macam tadilah. Kena sedar ada batasnya walau benar sekali pun.

Paling terkenal dalam pemakaian prinsip duty of confidence untuk penerbitan memoir adalah buku dengan judul Spycatcher lebih 30 tahun lalu.

Buku memoir berkenaan mengenai bekas pegawai perisik British MI5. Pangkat terakhirnya sebagai Timbalan Pengarah.

Tak lah ketua, tapi sudah tentu banyak diketahuinya tentang operasi persikan United Kingdom (UK).

Penulisnya, Peter Wright selepas bersara berpindah ke Tasmania dan menjadi rakyat Australia. Di sanalah beliau ditawarkan oleh penerbit untuk menghasilkan memoir tersebut.

Hasilnya, buku itu diterbitkan pada tahun 1987. Banyak dakwaan berkaitan sepanjang tugasnya di MI5 termasuk mengenai agensi itu bertindak melampaui undang-undang.

Ini mengundang kepada tindakan perundangan oleh Kerajaan UK bagi menghalang pengedaran buku tersebut.

Antara hujah digunakan ialah mengenai duty of confidence.

Memandangkan buku berkenaan bukan diterbitkan di UK, sudah tentu tiada apa dapat menghalang jualannya kecuali dalam bidang kuasa negara itu.

Itu pun setelah kalah-menang-rayu, Kerajaan UK tidak juga dapat menghalang penjualan buku berkenaan.

Cuma seperti diterangkan Setiausaha Dalam Negeri UK ketika itu, mahkamah bersetuju yang tindakan kerajaan UK menyekat penerbitan memoir Wright adalah untuk melindungi kerahsiaan negara.

Betul atau tidak memoir Wright, itu bukan persoalan utama, sebaliknya memastikan prinsip melindungi kerahsiaan bagi setiap penjawat awam negara itu dipatuhi.

Setahun dua selepas penebitan buku itu pada 1987, lebih dua juta naskhah telah terjual di seluruh dunia.

Walaupun ada penerbitan lain menyangkal sebahagian besar dakwaan Wright yang dipenuhi sensasi, namun lelaki itu sudah menjadi jutawan hasil jualan buku tersebut.

Wright meninggal dunia pada 1995 dan dia antara segelintir manusia bertuah kerana menjadi jutawan dengan hasil menulis buku.

Apa matlamat Wright dengan buku berkenaan, hanya dia yang tahu. Ada yang menulis memoir bukan kerana hendak jadi jutawan. Ramai pun billionaire menulis.

Maka, soal matlamat hanya penulis yang tahu. Cuma, dalam menulis memoir ada tanggungjawab dan pematuhan kepada undang-undang.

Datuk Seri Najib Tun Razak telah menghantar LOD ke atas Tommy.

Macam dalam memoir Tan Sri Tommy Thomas yang sudah menjadi bualan hangat sekarang. Ramai menyangkal dan tak kurang juga saman sivil dan laporan polis dibuat kerana kandungan My Story: Justice in the Wilderness.

Baca artikel berkaitan: Fitnah, Najib tuntut Tommy Thomas mohon maaf, ganti rugi RM10 juta

Tidak tahu lah juga sama ada di pihak kerajaan akan ada satu bentuk tindakan susulan penerbitan buku ini atau semuanya terpulang atas kapasiti individu.

Kita tunggu kesudahannya atau pun ada sambungan buku berkenaan kerana ramai tertunggu penjelasan keputusannya sebagai Peguam Negara menghentikan pendakwaan dalam kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang.