Rakyat Myanmar membantah rampasan kuasa oleh tentera.

YANGON – Polis Myanmar telah memfailkan pertuduhan terhadap pemimpin demokrasi Aung San Suu Kyi kerana penggunaan alat komunikasi dilarang, walkie talkie dan beliau akan ditahan sehingga 15 Februari untuk siasatan.

Memetik agensi berita Reuters, satu permohonan polis kepada dokumen mahkamah mengenai butiran pertuduhan terhadap Suu Kyi berkata, radio walkie talkie ditemukan semasa pihak berkuasa menggeledah rumahnya di ibu negara, Naypyidaw.

Katanya,radio itu diimport secara salah dan digunakan tanpa kebenaran.

Satu lagi dokumen semalam memohon penahanan Suu Kyi  bagi menemubual saksi, meminta bukti dan bantuan guaman selepas menyoal defendan.

Satu lagi dokumen menunjukkan polis memfailkan pertuduhan terhadap Presiden digulingkan, Win Myint kerana melanggar protocol mencegah penularan Covid-19 semasa berkempen untuk Pilihan Raya Umum November lalu.

Terdahulu, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) Myanmar dalam satu kenyataan berkata, pejabat parti itu di beberapa wilayah telah diserbu pihak berkuasa dan menggesa tindakan menyalahi undang-undang tersebut dihentikan selepas kemenangan parti itu dalam pilihan raya 8 November lalu.

Ketua Tentera, Min Aung Hlaing merampas kuasa dengan alasan berlaku penipuan semasa pilihan raya 8 November yang menyaksikan kemenangan besar NLD.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan pilihan raya itu berlangsung secara adil

Kumpulan Tujuh (G7), negara ekonomi paling maju mengutuk rampasan kuasa oleh tentera dan menggesa keputusan pilihan raya dihormati.

“Kami menggesa tentera segera menamatkan Perintah Darurat, mengendalikan kerajaan yang dipilih secara demokrasi dan membebaskan pemimpin yang ditahan secara salah serta menghormati hak asasi manusia dan undang-undang,” kata G7.

Sementara itu, kakitangan kerajaan di seluruh hospital kerajaan di negara mempunyai kira-kira 54 juta penduduk itu dilapor berhenti kerja dan memakai reben merah sebagai kempen membantah tindakan tentera.

Gerakan Ketidakpatuhan Awam Myanmar yang baru ditubuhkan berkata, 70 hospital dan jabatan perubatan di 30 Bandar menyertai kempen itu.

Mereka mendakwa tentera lebih mengutamakan kepentingan mereka mengatasi penularan wabak Covid-19 yang telah meragut 3,100 nyawa di Myanmar.

“Kami tidak dapat menerima tindakan tentera ini,” kata Myo Myo Mon, seorang doktor yang menyertai protes.

Tentera Myanmar merampas kuasa Isnin lalu dan menahan Suu Kyi yang pernah diletakkan di bawah tahanan rumah selama 15 tahun antara 1989 hingga 2010.