KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini menyindir bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng kerana meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak terlalu berjimat cermat dalam pentadbirannya.
Menurutnya, semasa Guan Eng jadi menteri kewangan, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) lebih pemurah, tidak terlalu berjimat cermat berbanding Kerajaan PN jauh sekali dibandingkan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Masakan tidak katanya, pada waktu itu, PH memberikan rakyat e-dompet RM30 dan perkenalkan Bantuan Sara Hidup (BSH) ganti BR1M dengan mengurangkan penerima daripada tujuh juta orang zaman BN kepada hanya tiga juta penerima.
Selain itu katanya, PH juga perkenalkan BSH bagi orang Bujang (40 tahun ke atas) RM100, berbanding BR1M zaman BN orang bujang (21 tahun ke atas) RM450.
“Bantuan sara hidup bulanan Nelayan dipotong, Bantuan Baucer Buku Mahasiswa RM250 juga dipotong.
“Itu tidak termasuk berapa banyak aset-aset strategik dijual atas alasan kononnya nak bayar hutang termasuk menjual pegangan saham Khazanah Nasional bernilai RM8.42 bilion dalam IHH iaitu syarikat konglomerat kedua terbesar dunia dalam sektor perubatan dan kesihatan.
“Jadi Kerajaan mana yang paling pemurah, banyak berbelanja untuk rakyat dan tidak terlalu berjimat cermat; BN, PH atau PN?,” tulis Asyraf dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam, Huang Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menggesa kerajaan supaya melaksanakan dasar ekonomi radikal berbanding daripada berjimat cermat.
Beliau menegaskan, kerajaan sepatutnya tidak perlu terikat dengan sasaran defisit yang membelenggu mereka ketika ini.
Selain itu beliau berkata, kerajaan perlu lebih banyak berbelanja dan jangan kedekut bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat yang merana dalam kelembapan ekonomi memandangkan ia adalah masalah yang terbesar dihadapi Malaysia ketika ini.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlalu berjimat cermat sampai takut untuk berbelanja besar demi kepentingan rakyat.
“Sasaran defisit ini boleh diselesaikan kemudian. Apa yang penting ada tahap kelangsungan hidup rakyat sekarang.
“Jika kerajaan tak membelanjakan wang yang cukup, masalah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang akan wujud kembali dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.