Orang kata, jangan sengaja takutkan anak dengan hantu. Tetapi di Jepun, ada satu kaedah pelik dalam mengajar anak-anak supaya tidak menjadi nakal. Caranya dengan menemukan anak mereka dengan hantu olok-olok untuk menakut-nakutkan mereka.

Cara itu telah menjadi salah satu amalan dalam masyarakat Jepun, terutamanya penduduk di bahagian Kyoto. Mereka akan membawa anak-anak menaiki keretapi yang dikenali sebagai The Train Yokai atau Kereta Api Yokai. Dalam masyarakat Jepun, ‘yokai’ bermaksud hantu.

Yokai pula terdiri daripada pelbagai jenis antaranya oni, kappa dan tengu. Lebih kurang sama dalam masyarakat Melayu di mana hantu dikenali dengan pelbagai nama seperti puntianak, hantu raya, toyol dan bermacam-macam lagi.

Kereta Api Yokai atau perayaan hantu ini biasanya diraikan apabila tiba musim panas. Pada hari-hari tertentu sepanjang musim panas, pengunjung berpeluang menaiki sebuah perkhidmatan kereta api hantu yang disediakan pada waktu malam.

Kereta api biasanya akan dihias dan dicat bermotifkan gambar-gambar hantu Jepun di bahagian luar bagi mewujudkan suasana seram. Manakala di bahagian dalam pula, keadaan dibiarkan kelam dengan berlatarkan lampu biru dan tangan palsu manusia tergantung di siling kereta api. Untuk menambahkan rasa takut, alunan bunyi-bunyi menyeramkan diperdengarkan melalui pembesar suara.

Keretapi Yokai dihias menyeramkan.

Selepas gerabak bergerak dan tiba di stesen hantu, pintu kereta api akan terbuka dan segerombolan hantu olok-olok perlahan-lahan masuk ke dalam. Ada yang berpakaian kimono putih, memakai topeng mengerikan, kain koyak dan mahkota putih segi tiga, menandakan mereka telah mati.

Budaya ini telah diperkenalkan oleh sebuah syarikat bernama, Keifuku Electric Railroad pada tahun 2007. Semenjak itu, ia menjadi tradisi tahunan yang sangat popular dan begitu ditunggu-tunggu oleh penduduk Jepun, terutamanya para ibu bapa yang punya anak terlalu manja dan nakal.

Bagi si anak kecil pula, dah tentu macam igauan ngeri bila melihat hantu-hantu tersebut akan berjalan dan merayau-rayau untuk mencari kanak-kanak. Mereka akan menjerit dan menangis ketakutan.

Manakala ibu bapa mereka pula sekadar tertawa melihat gelagat itu kerana tahu hantu berkenaan hanyalah olok-olok. Mereka langsung tidak cuba menjauhkan hantu-hantu itu daripada mendekati anak mereka yang menangis ketakutan diganggu oleh makhluk berwajah hodoh.

Hantu olok-olok ini sengaja akan mengganggu kanak-kanak.

Bagi masyarakat di sana, ini salah satu cara untuk mengubah perangai budak yang tidak mendengar kata menjadi sedikit baik daripada sebelumnya. Mungkin kerana berasa serik, menyebabkan anak yang nakal itu akan berubah sikap menjadi lebih baik, dengan harapan mereka tidak akan diganggu hantu-hantu itu lagi.

Selain untuk menakut-nakutkan budak nakal, budaya ini juga menjadi amalan supaya anak-anak dapat menyejukkan badan pada malam hari sepanjang musim panas. Sebab itulah ibu bapa di sana akan mengajak anak mereka menaiki Kereta Api Hantu Yakoi pada waktu malam dan menikmati sensasi seram supaya anak boleh merasa sejuk pada malam hari di musim panas.