Rimas rasanya kalau di rumah terlalu banyak semut. Pantang ditinggal sekejap makanan atau minuman, pasti dimasuki semut.
Meskipun begitu dalam Islam, hukum makanan atau minuman yang tercemar dengan semut ada perbahasannya tersendiri. Menurut Hafiz Noramli Halimi Pensyarah Pengajian Islam Kolej Poly-Tech Mara, terdapat hukum yang perlu kita ambil berat dalam permasalahan feqhiah melibatkan makan semut.
Sebagaimana yang kita tahu, semut adalah binatang yang tidak mengalir darah. Bangkai semut adalah najis yang dimaafkan. Namun masuk semut dalam minuman atau makanan hukumnya terdapat dua keadaan.
Pertama, semut masuk dalam keadaan sudah mati. Semut itu sudah tentu menjadi bangkai. Jika bangkai semut masuk dengan ikhtiar manusia seperti memasukkan gula yang ada bangkai semut ke dalam air minuman, maka air tersebut menjadi najis dan tidak boleh diminum.
Sebaliknya jika bangkai semut masuk di dalam air minuman bukan kerana ikhtiar manusia, seperti ditiup angin, selagi tidak mengubah sifat air maka ia boleh diminum dengan syarat membuang dahulu bangkai semut tersebut.
Kedua, jika semut yang masih hidup masuk ke dalam minuman, kemudian ia mati sendiri di dalam air dengan sebab ikhtiar manusia, maka air itu menjadi najis dan tidak boleh diminum.
Ini mungkin boleh berlaku jika air itu ditapis atau memasukkan gula yang ada semut yang hidup. Atau mungkin kerana memasukkan air yang di dalam cawan mengandungi semut hidup.
Sebaliknya jika bukan dengan ikhtiar manusia seperti ia masuk dengan sendirinya atau ditiup angin, maka minuman itu tidak najis dan boleh diminum dengan syarat bangkai semut itu telah dibuang dahulu.

Ulama beza pandangan
Adapun ulama berbeza pendapat dalam menentukan hukum makan binatang yang tidak berdarah. Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili juga dari pandangan mazhab Syafie, haram makan serangga-serangga bumi seperti kala jengking, lebah dan juga semut kerana keadaannya yang beracun dan dipandang menjijikkan oleh orang yang waras.
Walaubagaimanapun mazhab Maliki membolehkan serangga ini dimakan dengan syarat ia mesti disembelih dahulu.
Menurut Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin pula menyatakan, apabila semut atau lalat terjatuh dalam periuk makanan, maka tidak harus menumpahkan atau membuang semua makanan yang ada dalam periuk kerana yang menjijikkan adalah fizikal bangkai semut atau lalat.
Sedangkan keduanya tidak mempunyai darah maka ia tidak menajiskan. Pandangan ini juga menunjukkan larangan makan kedua serangga tersebut kerana ia dianggap menjijikkan. Wallahu a’lam