Sebanyak 9,000 peluang pekerjaan ditawarkan Top Glove kepada rakyat Malaysia tahun ini.

KUALA LUMPUR – Top Glove Corporation Bhd menawarkan 9,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia pada tahun ini termasuk untuk graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Memetik Berita Harian, pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dalam kenyataannya berkata, jumlah tersebut adalah peningkatan sebanyak 30 peratus berbanding 7,000 peluang pekerjaan yang ditawarkan pada tahun lalu.

Katanya, daripada 9,000 peluang pekerjaan itu, 2,300 diperuntukkan untuk graduan TVET tempatan di negeri ia beroperasi termasuk Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor; Kluang di Johor; Kota Bahru di Kelantan; Kulim di Kedah; Ipoh, Perak dan Negeri Sembilan.

“Inisiatif pengambilan kerja ini turut dijangkakan mampu membantu mengecilkan jurang pengangguran negara disebabkan pandemik yang sedang berterusan ini.

“Top Glove sedang rancak melakukan pengembangan, susulan peningkatan permintaan sarung tangan yang dijangkakan berkembang daripada 10 peratus setahun sewaktu pra-pandemik kepada kira-kira 15 peratus setahun pasca pandemik.

“Kumpulan memperuntukkan RM10 bilion untuk perbelanjaan modal selama lima tahun akan datang dari tahun kewangan 2021 hingga tahun kewangan 2025, yang akan meningkatkan kapasiti sarung tangan tambahan sehingga 100 bilion,” katanya.

Mengulas lanjut, ia berkata, dalam tempoh tiga tahun lalu, Top Glove sudah mula meningkatkan penggunaan automasi, digitalisasi, robotik dan kecerdikan buatan dalam operasinya.

“Pengenalan semua teknologi baharu ini mencetuskan keperluan segera syarikat terhadap bakat rakyat Malaysia yang mahir terutama graduan TVET yang mempunyai kemahiran dalam bidang ini.

Top Glove berkata, ia menawarkan pelbagai manfaat kepada 21,000 tenaga kerjanya, termasuk pakej gaji yang menarik dan faedah lain.

“Pemohon TVET yang berjaya diambil bekerja oleh syarikat akan menerima gaji yang kompetitif di samping menikmati makanan vegetarian sihat bersubsidi setiap hari; faedah perubatan termasuk akses ke pusat rawatan ambulatori pelbagai disiplin dan klinik khusus milik Top Glove iaitu Pusat Perubatan dan Pergigian Doktor Global Top Glove.

“Budaya integrasi kehidupan kerja yang mantap disokong oleh beberapa program sosial dan aktiviti sukan, gimnasium yang lengkap dengan pelatih peribadi berkelayakan, di samping peluang yang luas untuk perkembangan kerjaya,” katanya.