Hujung minggu begini, ada yang nak pergi potong rambut ke? Maklumlah, kedai gunting sudah dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP ini.

Anda perasan tak, kebanyakan kedai gunting rambut, di luar kedai mereka akan tergantung satu tiang silinder yang berbelang-belang merah biru dan sentiasa berputar. Selalunya jika kita nampak silinder itu, automatik kita tahu itu adalah kedai gunting rambut.

Ada kisah di sebalik tiang silinder itu. Ia bukan sengaja digantung untuk perhiasan, tetapi merupakan satu simbolik.

Pada abad ke-14, profesion tukang gunting lelaki pesat berkembang. Di barat ketika itu, banyak kedai ‘barber shop’ muncul.

Perkataan ‘barber’ muncul daripada bahasa Latin iaitu ‘barba’ yang bermaksud janggut. Ia merujuk kepada mereka yang kerjanya memangkas rambut,  janggut dan kumis lelaki.

Ketika itu, barber shop bukan semata-mata kedai untuk memangkas rambut atau janggut. Tetapi ia turut memberi perkhidmatan seperti klinik bagi melakukan pembedahan kecil, mencabut gigi dan menyedut darah menggunakan lintah untuk tujuan perubatan. Khidmat ini dilakukan oleh golongan tukang bedah amatur.

Barber shop zaman dulu bukan sekadar untuk memangkas rambut dan janggut, tetapi juga untuk khidmat perubatan.

Sudah jadi kebiasaan, si tukang bedah akan menjemur kain pembalut yang berlumuran darah di hadapan kedai mereka. Apabila ditiup angin, kain itu akan berputar-putar hingga menimbulkan variasi warna merah putih pada pandangan.

Lama kelamaan, kebiasaan itu mula jadi ikutan. Kedai-kedai tersebut menggantung kain pembalut itu sebagai trademark. Apabila melihat kain merah putih yang berputar itu, orang ramai tahu itu adalah kedai gunting.

Tetapi, kemudian timbul kompelin. Para pejalan kaki yang lalu di luar kedai barber shop ini berpendapat, kain berlumuran darah yang digantung itu satu pemandangan menjijikkan. Akhirnya, kain kotor itu tidak dibenarkan lagi untuk digantung.

Si tukang gunting mendapat idea baru. Mereka mula meletakkan tiang putih yang kemudian dicat dengan warna merah dan biru secara berbelang di hadapan kedai.

Model awal tiang ini dalam keadaan statik sebelum ia berubah seiring dengan peredaran zaman.

Tiang putih menggambarkan kain pembalut luka, warna merah bermakna aliran darah dan warna biru pula merujuk kepada pembuluh darah. Di atas tiang pula ada bulatan kecil yang menggambarkan bekas untuk menyimpan lintah. Manakala bulatan di bawah tiang mewakili bekas untuk menampung darah. Waktu itu, model tiang itu masih statik. Belum boleh berputar.

Seiring perkembangan waktu, penggunaan tiang itu kian berkembang dan menjadi simbol utama kedai potong rambut.

Pada tahun 50-an, Amerika menghasilkan model lebih sempurna. Ia bukan sekadar tiang namun sebuah bekas yang boleh berputar. Ketika itu, pemakaiannya bukan lagi untuk fungsi klinik, namun semata-mata sebagai barber shop, yakni hanya menawarkan khidmat memangkas rambut sahaja.

Simbolik tiang berbelang itu bukan saja meliputi negara Barat bahkan merebak ke serata dunia. Di Malaysia terutama pada tahun 80-an, kita mudah melihat bekas berbelang itu di luar kedai potong rambut. Mungkin ada juga yang suka merenung bekas itu bila ia berpusing. Masih kah anda ingat?

Namun, pada pertengahan tahun 90-an, penjualan bekas berbelang itu mula merosot. Di sesetengah negara mula ada peraturan melarang penggunaannya. Alasannya? Tiang yang berpusing itu mudah memeningkan kepala orang yang melihat dan keadaan itu dikatakan mengganggu fokus tumpuan para pemandu yang melihatnya.

Maka tidak hairan pada hari ini sudah tidak begitu banyak kita melihat pemandangan bekas pusing berbelang ini lagi. Fenomenanya kian luput ditelan zaman.

Oh ya, dulu apabila kita melihat tiang itu berputar, bermakna kedai itu buka. Jika ia statik tidak bergerak, maksudnya kedai itu tutup.