JOHOR BAHRU – Rupa-rupanya selama ini sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Desa Cemerlang. Seri Alam di sini berselindung di sebalik operasi pusat pelupusan barang terpakai bagi menjalankan kegiatan memproses dadah.

Kegiatan itu terbongkar selepas kilang itu terbakar pada 31 Jan lepas dan Jabatan Bomba dan Penyelamat yang menjalankan kerja-kerja memadam kebakaran menemui peralatan memproses dadah dan sejumlah barang terlarang terbabit.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pithcay berkata hasil maklumat pihak bomba, polis kemudiannya membuat serbuan di kilang itu dan berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.06 juta.

“Kesemua dadah yang dirampas membabitkan 30 kilogram (kg) ketamin bernilai RM1.65 juta, 100 liter cecair disyaki dadah bernilai RM3.3 juta, dua kg serbuk disyaki dadah bernilai RM110,000, mesin serta peralatan memproses dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan maklumat lanjut, polis kemudian menahan enam lelaki tempatan berumur antara 34 dan 48 tahun di sekitar bandar raya ini pada malam yang sama, yang dipercayai terlibat dengan sindiket pemprosesan dadah berkenaan.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menyewa kilang untuk dijadikan makmal haram memproses dadah. Hasil maklumat turut mendedahkan bahawa sindiket ini sudah beroperasi sejak sebulan lepas,” katanya.

Ayob Khan berkata, selain itu pihaknya turut menyita enam kereta bernilai RM398,000, sebuah motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz bernilai RM4,000, dua jam tangan jenama Fossil dan Citizen bernilai RM1,300, wang tunai RM6,400, 15 barangan kemas bernilai RM59,220, lima akaun bank dengan nilai sitaan RM873,042.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati kesemua enam lelaki yang ditahan negatif terhadap dadah dengan lima daripadanya mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Beliau berkata kesemua mereka kini masih direman sehingga esok (7 Feb) untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ayob Khan dalam masa sama menjelaskan, pihaknya sedang memburu empat lelaki dan seorang wanita tempatan yang mana seorang daripadanya merupakan dalang sindiket itu yang masih bebas.

Menurutnya, kesemua yang diburu itu adalah Ooi Kerh Chi, 40, dan Cheong Kerh Chi, 39, yang mana kedua-duanya beralamat terakhir di Jalan Lembing 28, Taman Puteri Wangsa, di sini, Ng Hoon Guan, 45, dan Chua Lee Yee, 33, beralamat terakhir di Jalan Daisi, Taman Plentong Utama, di sini, serta S.Steven, 46, yang beralamat terakhir di Jalan Angsana 4, Taman Rinting, di sini. – UtusanTV